Malaysia Tentang Habis-Habisan Tindakan Trump


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia akan menentang habis-habisan isu pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Persidangan Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Rabu depan.

"Insya-Allah, saya akan hadir Persidangan Khas OIC di Istanbul pada 13 Disember ini. Saya tak redha nasib umat Islam tertekan dalam apa jua keadaan!

"Saya nak beritahu mereka bahawa UMNO, umat Islam Malaysia akan tentang habis-habisan, sampai bila-bila takkan kita terima," kata Perdana Menteri dalam catatan Twitter beliau semalam.

Najib dalam catatan Twitter sebelum ini, turut memberitahu Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menelefon beliau untuk hadir pada persidangan khas berkenaan kerana suara Malaysia penting.

"3 hari lepas Presiden Erdogan telefon minta saya hadir Persidangan Khas OIC kerana suara Malaysia penting.

"Saya batalkan rundingan tahunan dengan Singapura dan terangkan kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, isu Baitulmaqdis ini cukup penting kepada umat Islam seluruh dunia," katanya.

Sumber: BH Online