"Mama Baliklah, Ambil Kakak Pergi Beli Baju Sekolah" - Rintihan Terakhir Adik Puteri


ALOR SETAR - "Mama baliklah, ambil kakak pergi beli baju sekolah".

Berikut adalah rintihan terakhir suara Puteri Intan Sharini Mohd Hishamuddin, 8, yang meminta ibunya pulang untuk menemaninya membeli kelengkapan persekolahan.

Kata-kata Puteri itu menyebabkan Wan Nor Suriati Wan Masri, 26, sebak, terutama mengenangkan niatnya tidak kesampaian apabila anaknya maut selepas tertembak senapang patah milik moyangnya semalam.

Kejadian berlaku sekitar jam 11.30 pagi itu ketika mangsa sedang menonton televisyen bersendirian di ruang tamu rumah datuknya di Kampung Empa, Pokok Sena, sebelum dikatakan terkena tembakan senapang patah milik moyangnya, Saidin Hamid, 80.

Wan Nor Suriati mengakui tergamam melihat wajah Puteri berlumuran darah sejurus tiba di rumah bapanya itu, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.


"Saya terkilan tidak sempat tunaikan permintaan Puteri. Malam tadi saya ada menghubunginya dan masih terngiang-ngiang permintaannya kepada saya supaya pulang dan teman dia pergi beli barangan sekolah," katanya yang dipetik BH Online.

Menurut suri rumah itu, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi ketika berada di rumahnya di Kampung Baru, Wang Tepus di Jitra sebelum bergegas ke rumah bapanya di Pokok Sena.

"Sebak saya lihat keadaan muka Puteri berlumuran darah sambil diriba neneknya. Saya tergamam dan terduduk sampai tidak boleh buat apa-apa lagi.

"Saya hanya tahu anak saya tertembak, tetapi tidak tahu bagaimana ia boleh berlaku," ujarnya dengan nada sebak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, mengesahkan polis sudah merampas senapang patah serta lesen senjata api berkenaan untuk siasatan lanjut.

Jelas beliau, polis turut menahan dua lelaki yang juga ahli keluarga mangsa untuk siasatan susulan kejadian itu.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek berusia 50 tahun dikatakan mengambil senjata api terbabit untuk menembak tupai, namun seorang lagi suspek berusia 15 tahun secara tidak sengaja tertembak senapang patah itu dan mengenai mangsa.

"Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, untuk bedah siasat," katanya. -Kedahnews.com