Mangsa Banjir Kuala Muda Terima Sumbangan


ALOR SETAR - Seramai 83 keluarga mangsa banjir dari beberapa kampung di Kuala Muda, Kedah menerima bantuan dari segi kelengkapan dapur bersempena dengan majlis penyampaian Bantuan Pasca Bencana Banjir di Kampung Min Terk di Alor Setar, semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dearah Kuala Muda, Kapten Azahar Ahmad berkata, sumbangan tersebut diserta dari pelbagai pihak tampil demi meringankan beban penduduk di kawasan tersebut.

“Banyak barangan penting dalam rumah penduduk rosak te­ruk dalam kejadian banjir berlaku di sekitar kampung berkenaan semasa anggota APM melakukan kerja-kerja menyelamatkan penduduk.

“Air masuk ke dalam rumah penduduk hingga ke paras dada semasa berlaku kejadian banjir pada 4 November lalu, seramai 332 mangsa berjaya dipindahkan ke tempat selamat,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, turut menyumbangkan dapur gas, manakala WD 40 Penyembur Antikarat dari Syarikat Bun Seng Hardware Sdn. Bhd dan almari laci plastik lima tingkat dari Pertubuhan Kesenian Kehidupan Utara.

Wakil Pegawai Daerah Kuala Muda, Abdul Jalil Hashim ketika berucap dalam majlis itu turut memuji tindakan yang diambil oleh pihak-pihak berkenaan bagi menghulur bantuan seperti ini selepas kejadian banjir disifatkan sebagai baik sekali.

“Ini menunjukkan pihak-pihak berkenaan begitu prihatin de­ngan masalah yang dihadapi oleh setiap mangsa banjir,” katanya.

Seorang penduduk, Mohd. Fazli Mustafa, 30, berkata, sumbangan diberikan itu sudah tentu dapat meringankan bebanan penduduk yang tinggal di sepanjang sungai Kampung Min Terk.

Menurutnya, selepas kejadian beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertanian dan Maj­lis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) tampil menjalankan pelbagai aktiviti di kawasan kampung berkenaan. - Kedahnew.com