KLANG – Dikurung 13 jam dalam kandang lembu dan dipukul dalam keadaan mata ditutup kain hitam merupakan antara pengalaman pahit dilalui seorang pekerja kilang wanita yang diculik oleh tiga lelaki di Kampung Jawa di sini Jumaat lalu.
Selepas dilarikan dengan menaiki kereta Mercedes Benz pada pukul 9.30 pagi, S. Jothimani, 48, kemudian ditemui di tepi jalan berhampiran sebuah kilang di Seksyen 36, Shah Alam pada pukul 10.30 malam hari yang sama.
Jarak mangsa ditemui dengan lokasi dilaporkan hilang adalah kira-kira 1.5 kilometer.
Abang mangsa, S. Manimaran, 50, berkata, tiga suspek berketurunan India yang tidak dikenali adiknya bertindak ganas dengan mengheret adiknya sejauh 50 meter ke kandang lembu setelah menculiknya di hadapan sebuah kilang pengeluar penapis air.
Katanya, adiknya turut dipukul di kepala dan belakang badan menggunakan besi sehingga jari kelingking kirinya patah.
“Melalui cerita Jothimani, ketiga-tiga penculik terbabit memberitahu mereka mengambil mangsa seminggu sebelum berjaya menculik adiknya,” kata Manimaran ketika ditemui di Hospital Pakar Sentosa di sini semalam.
Manimaran memberitahu, selepas menyeksa Jothimani kira-kira 13 jam di sebuah kandang lembu tidak diketahui lokasi, kumpulan suspek kemudian membuang adiknya di tepi jalan di Seksyen 36 Shah Alam.
“Semasa ditemui orang awam, Jothimani dalam keadaan berlumuran darah manakala mata masih ditutup kain hitam dan pita pelekat,” ceritanya.
Katanya, dalam kejadian itu, Jothimani turut mengalami kerugian RM15,000 selepas barang kemas dan telefon bimbitnya dikebas tiga suspek berkenaan.
Jothimani yang telah bersuami mempunyai dua orang anak lelaki masing-masing berusia 20 dan 23 tahun.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat mengesahkan mangsa yang diculik sudah ditemui tetapi polis belum membuat sebarang tangkapan.
Kosmo! semalam melaporkan seorang pekerja kilang wanita diculik tiga lelaki menggunakan kenderaan Mercedes Benz berwarna putih dalam kejadian di Kampung Jawa.
Sumber: Kosmo