SUNGAI BULOH - "Selepas dilanggar dari belakang, saya melambung ke atas kenderaan itu dan dibawa sejauh satu kilometer sebelum terbabas," kata Ahmad Hadafi Jus, mangsa rempuh ketika menyertai Klang City International Marathon 2017, semalam.
Hadafi, 42, yang cedera ringan berkata, ketika kejadian dia sedang berlari di sebelah kiri Evelyn Ang Gek Suan, sebelum bertukar posisi ke kanan selepas peserta di hadapannya terjatuh dalam lubang.
Namun secara tiba-tiba katanya, sebuah kenderaan Proton Iswara merempuhnya dari belakang menyebabkan dia terpelanting ke atas bumbung kereta, sebelum berpaut di atas bumbung sejauh satu km.
"Ketika berada di atas kenderaan itu, saya bertindak mengetuk bumbung dan cermin tetapi pemandu kenderaan tidak memberikan sebarang respons sehingga ia terbabas.
"Saya ingat pada mulanya hanya saya seorang mangsa tetapi selepas naik ambulans baru saya sedar Amiruddin (Hamid) juga menjadi mangsa yang berada kira-kira satu meter di belakang saya.
"Sebaik tiba ke hospital baru saya sedar yang Evelyn turut dilanggar selepas perasan akan cermin matanya.
"Kejadian ini tidak ubah seperti filem Jackie Chan. saya sangat bernasib baik kerana tidak parah," katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh, selepas menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di sini hari ini.
Ahmad Hadafi berkata, dia mengalami kecederaan di kaki selain mula merasakan sakit di bahagian dada tetapi mengakui masih belum membuat pemeriksaan fizikal penuh.
Evelyn, 44, yang cedera parah pula dilaporkan semakin stabil selepas menjalani pembedahan di bahagian kepala semalam dan kini dirawat di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).
Dalam insiden awal pagi semalam, seorang pengiring perlumbaan parah manakala dua lagi cedera selepas dilanggar sebuah kereta Proton Iswara dari arah belakang di Jalan Kapar Batu 2 selepas mereka memulakan larian dari Stadium Pandamaran, Klang.
Sejurus kejadian, seorang pemandu proton Iswara berusia 27 tahun ditahan oleh polis, namun keputusan ujian air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati negatif.
Sumber: BH Online