Maritim Malaysia Kesal Tindakan Indonesia Tembak Bot Nelayan Asing


KLANG – Agensi Pe­nguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kesal dengan tindakan penguat kuasa Indonesia yang menggunakan senjata dalam menangani pencerobohan nelayan asing di negara itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, penggunaan senjata bagi kes itu sepatutnya hanya untuk memberi amaran atau mempertahankan diri.

“Maritim Malaysia sendiri menggunakan prinsip penguatkuasaan minimum dalam menangani kes pencerobohan nelayan asing ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Peletakan Lunas Kapal Pe­ronda Luar Pantai (OPV) di Pulau Indah di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Destini Berhad, Tan Sri Rodzali Daud; Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Heavy Engineering Berhad (THHE), Suhaimi Badrul Jamil.

Pada Julai lalu, sebuah bot nelayan di Sekinchan, Sabak Bernam didakwa ditembak secara rambang oleh agensi penguat kuasa Indonesia semasa menangkap ikan di perairan negara manakala dua lagi buah bot lain turut dirampas.

Susulan kejadian itu, pihak Maritim Malaysia telah menemui Polis Air Republik Indonesia untuk mendapat maklum balas berhubung insiden tersebut.

Zulkifli dalam pada itu mengesahkan peluru yang ditemukan dalam bot nelayan terbabit adalah milik penguat kuasa Indonesia.

“Namun, semasa siasatan dengan pihak Indonesia, mereka mengatakan bot kita menceroboh masuk perairan mereka. Walaupun tidak ada kepastian yang sahih tetapi ada laporan daripada nelayan tempatan menyatakan nelayan kita itu menceroboh masuk perairan Indonesia,” jelasnya.

Mengulas tentang majlis itu, Zulkifli memberitahu, peletakan lunas OPV adalah bagi pelancaran projek pembinaan tiga kapal tersebut yang dibina oleh anak tempatan dan merupakan kapal OPV pertama dibina khusus untuk Maritim Malaysia bagi membantu dari aspek operasi dan penguatkuasaan undang-undang maritim negara.

 Sumber: Utusan Online