KULIM – MCA optimis Kampung Baru di sini mampu menjadi kubu terbaik buat parti itu untuk meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Timbalan Pengerusi MCA Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong berkata keyakinan itu berdasarkan kepada sokongan dan penerimaan masyarakat Cina di sini terhadap kepimpinan MCA dan Barisan Nasional (BN).
“Kehadiran mereka membuktikan adanya penerimaan masyarakat Cina terhadap kepimpinan BN,” kata Leong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan India negeri selepas majlis Jamuan Ramah Mesra Warga Kampung Baru Masyarakat Cina Kedah Bersama Pemimpin 2017 di sini, malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Dalam pada itu, Ahmad Bashah dalam ucapannya menyatakan keyakinannya bahawa BN mampu menang dua pertiga dalam PRU14 kerana terdapat banyak perubahan yang telah dilakukan kerajaan untuk rakyat.
“Apa yang penting, pada saat kerajaan memberi hak memilih kepada rakyat, pilihlah dengan betul. Jangan turutkan hati yang akhirnya akan menyebabkan kerugian kepada diri sendiri,” katanya. – BERNAMA