Mayat Pekerja Kimpalan Jatuh Sungai Alor Mengkudu Ditemukan


ALOR SETAR - Mayat seorang pekerja kimpalan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran di Jalan Alor Mengkudu di sini ditemukan petang semalam.

Pegawai Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, mangsa dikenali Ho Chon Sian, 22, ditemukan pada jam 5.28 petang.

Mayat mangsa timbul di permukaan air kira-kira 50 meter dari lokasi awal mangsa dipercayai terjatuh.

"Kita membuat ‘Sige Up’ dan menyelam beberapa kali, namun mangsa gagal dikesan sehinggalah kita membuat teknik ombak menggunakan dua bot penyelamat apabila mayat mangsa timbul,” katanya ketika dihubungi malam semalam.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar bagi tujuan bedah siasat.

Tambah Rahimi, seramai 13 anggota bomba dengan dua pegawai termasuk unit skuba bomba bersama tujuh anggota polis dikerahkan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Ketika kejadian, Chon Sian dikatakan sedang menyiapkan kerja pembinaan jambatan di sekitar kawasan berkenaan sebelum dia dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai itu. - Kedahnews.com