PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menawarkan ganjaran kepada orang ramai yang menangkap tikus dalam usaha untuk mengurangkan populasi mamalia itu.
Kempen yang berlangsung sehingga 7 Disember ini bakal memberikan RM3 untuk setiap tikus yang berjaya ditangkap di bandar ini.
Ganjaran itu boleh dituntut daripada pegawai yang ditempatkan di gelanggang bola keranjang SS2 di Jalan SS2/61 dari pukul 9 pagi hingga 11 pagi setiap hari.
Habuan itu hanya untuk penduduk sekitar Petaling Jaya, demikian kata Datuk Bandar, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.
Malahan, beliau secara seloroh berkata, pegawainya dapat mengesan sama ada tikus yang ditangkap itu dari kawasan bandar itu atau sebaliknya.
Beliau berkata, kempen berkenaan dapat membantu penduduk dan pemilik kedai untuk memastikan premis mereka dalam keadaan bersih.
"Kami melakukan sebaik mungkin untuk mengurangkan populasi tikus menerusi dua kaedah iaitu perangkap dan penggunaan racun," katanya.
Bagaimanapun, katanya, segala usaha itu tidak akan berkesan jika orang ramai dan kawasan komersial termasuk premis makanan masih dalam keadaan kotor.
Katanya, parit dan longkang yang dipenuhi sisa makanan juga dapat menarik kehadiran tikus.
"Jika kebersihan tidak menjadi keutamaan, maka populasi tikus akan bertambah," katanya.
Majlis pelancaran kempen itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan pejabat Jabatan Kesihatan MBPJ.
Sebanyak 200 perangkap tikus diedarkan kepada pemilik kedai sekitar kawasan komersial SS2.
Sepanjang tahun ini, MBPJ menerima 55 aduan berkaitan tikus dan 1,587 ekor telah ditangkap setakat ini.
Sumber: Mstar Online