SATU memorial bagi memperingati mangsa penerbangan MH370 akan dibina di Elizabeth Quay, Perth, bertujuan mencetuskan rasa damai dengan monumen menghadap sungai.
Perancangan membina memorial berkenaan pada mulanya disuarakan pada 2014 dengan tender dikeluarkan untuk pihak yang berminat membinanya.
Menurut tender itu, tugu berkenaan bertujuan meluahkan emosi dan mengenang kehilangan peribadi namun pada masa sama, mencetuskan kedamaian.’
Tender dianggar bernilai A$126,000 (RM396,000), ditutup 31 Januari depan dengan projek dijangka disiapkan pertengahan tahun depan.
Memandangkan sensitiviti budaya Cina, ia juga akan merujuk kepada mereka yang ‘hilang’, bukannya mati.
“Senarai nama juga tidak dianggap wajar memandangkan keadaan itu masih belum mendapat penjelasan sepenuhnya.
“Tugu itu perlu peringatan sebaiknya untuk penumpang serta anak kapal pesawat yang hilang berkenaan, dengan mengambil kira kemungkinan ia ditemui pada masa akan datang,” kata tender berkenaan.
Tugu berkenaan akan dibiayai bersama oleh kerajaan negeri dan persekutuan dengan Elizabeth Quay menjadi pilihan kerana mudah diakses selain suasananya yang tenang dengan panorama Sungai Swan serta Taman Kings.
Pencarian pesawat itu digantung Januari lalu selepas pencarian membabitkan kawasan seluas 120,000 kilometer persegi.- Agensi