Mitos Makan Daging Kura-Kura Boleh Hidup Lama


KUALA LUMPUR - Wujud mitos daging kura-kura boleh memanjangkan hayat manusia berikutan reptilia itu mampu hidup melebihi usia 100 tahun.

Ini dikatakan menjadi punca permintaan terhadap daging haiwan ini meningkat bagi memenuhi selera penggemar makanan eksotik.

Rangkaian pemantauan perdagangan hidupan liar Global TRAFFIC berkata, haiwan ini menjadi simbol ‘panjang umur’ dan mula menjadi makanan kegemaran mewah di China sejak zaman kuno lagi.

“Ramai percaya dakwaan daging kura-kura mempunyai khasiat. Memakannya bagi segelintir individu mampu membawa kekuatan, ketahanan dan panjang umur.

“Selain itu daging kura-kura didakwa boleh dijadikan ubat bagi menyembuhkan pelbagai penyakit,” katanya.

Ini antara faktor rangkaian sindiket aktif menyeludup kura-kura ke China dan Hong Kong walaupun menyedari ia adalah jenayah mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa 2008.

“Tidak hanya kura-kura diseludup dari Asia Tenggara atau Asia Barat, malah sindiket turut mendapatkan bekalan dari Amerika Syarikat dan Kanada.

“Malah terdapat kemungkinan jumlah kura-kura diseludup melebihi jumlah gading gajah Afrika yang diseludup. Yang pasti aktiviti pemerdagangan haiwan dilindungi sangat mirip dengan pengedaran dadah,” katanya.

Ini berikutan harga hidupan liar ini di pasaran gelap boleh menjadi lebih mahal berbanding kokain atau heroin.

TRAFFIC sebelum ini melaporkan lebih 1,000 ekor kura-kura dan penyu dirampas membabitkan penyeludupan dari India ke Thailand dan Hong Kong.

Menurutnya, kura-kura hitam Geoclemys hamiltonii dan kura-kura lembut India Chitra indica turut menjadi sasaran penyeludupan menggunakan bagasi.

Sumber: MyMetro