ALOR SETAR - Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam dikatakan tidak lagi 'selamat' jika Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhasrat untuk mempertahankan DUN itu.
Kerusi Ayer Hitam itu kini telah 'ditawan kembali' oleh Datuk Othman Aziz, Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Jerlun.
Perlu disebut, sebelum Mukhriz dicalon bertanding di kerusi Ayer Hitam dan dimenangi oleh PAS pada PRU 2008, Dewan Undangan Negeri itu disandang oleh Othman yang dilantik sebagai Exco kerajaan.
Walaupun sibuk dengan tugasan rasmi di kementerian, Othman yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Jerlun akan dilhat berada di kawasannya (Jerlun) setiap hujung minggu untuk bersama penduduk termasuk di Ayer Hitam.
Beliau lebih kerap pulang ke Ayer Hitam berbanding Mukhriz yang kini mewakili kawasan itu atas kapasitinya sebagai wakil rakyat pembangkang.
Selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Othman mempunyai kaitan yang rapat dengan pemimpin peladang MADA kawasan dan juga pesawah di kawasan Jerlun.
Difahamkan ketika Mukhriz menjadi Menteri Besar Kedah, beliau amat jarang turun ke DUN Ayer Hitam dan lebih banyak meluangkan masa di ibu negeri, selain sering berulang alik ke ibu negara untuk bersama keluarganya yang menetap di sana.
Kini dikhabarkan Mukhriz akan berhijrah di Selangor pada PRU14.
Sama ada ia benar atau tidak penghijrahan itu, penduduk Jerlun termasuk DUN Ayer Hitam kini lebih mesra dengan Othman untuk mengadu hal, berbanding Mukhriz, sekalipun Timbalan Presiden PPBM itu pernah menjadi Menteri Besar selama dua tahun lebih sebelum tugas itu diambil alih oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. - kedahnews.com .