Musang King Dah RM300 Sekilogram


Raub- Jika dua tahun lalu, durian Musang King terpaksa dijual dengan harga RM1 sekilogram namun pengusaha raja buah itu kini mampu tersenyum lebar apabila harga satu kilogram durian mencecah RM140 hingga RM300 berikutan permintaan tinggi dari pelancong terutama China.

Pemilik kebun Musang King, Ee Chin Loon, 52, berkata, permintaan tinggi pelancong yang berkunjung ke Raub dan Bentong semata-mata menikmati raja buah itu menyebabkan pihaknya terpaksa memikirkan alternatif lain menjadikan ia tidak bermusim.

“Kebiasaannya di Semenanjung Malaysia musim durian antara Jun hingga Ogos namun berikutan Musang King kini menjadi produk pelancongan negara menyebabkan kami perlu memikirkan alternatif bagi menjadikan ia tidak menjadi buah bermusim dan boleh dinikmati setiap masa.

“Kami akan menyimpan durian ini dalam peti sejuk beku mencecah suhu negatif 80 darjah Celsius bagi memastikan kesegaran Musang King yang tahan dua hingga tiga tahun,” katanya ketika ditemui di Karnival Durian Musang King: Makan Asli dan Pusat Pelancongan di Malaysia di Jalan Tras, di sini, semalam.

Ee yang memiliki enam hektar tanah dengan lebih 400 pokok Musang King berkata, permintaan tinggi pelancong luar menyebabkan daerah itu menjadi tumpuan manakala kebunnya dihujani orang ramai menjamu buah tempatan itu.

“Tidak sangka selepas kerajaan memperkenalkan Musang King di China, penduduk republik itu berpusu-pusu mengunjungi Raub yang menjadi pengeluar utama buah itu.

“Durian Musang King gred A berjaya ditempah dan dieksport ke China bagi memenuhi permintaan di sana, dan saya akui kebanyakan rakyat Malaysia kini hanya dapat menikmati Musang King gred B atau C saja berikutan buah itu kini bagaikan ‘pisang goreng panas’ di pasaran sana,” katanya.

Menurutnya, permintaan tinggi memerlukan semua pengusaha durian di dua daerah itu bekerjasama bagi meningkatkan eksport raja buah itu ke China.

“Dianggarkan 3,000 pelancong China mengunjungi Raub dan Bentong setiap hari untuk merasai Musang King,” katanya.

Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Pahang Datuk Idros Yahya berkata, hasil kerjasama antara pengusaha durian dengan MOTAC berjaya menghasilkan raja buah boleh dinikmati setiap masa.

“Istilah ‘musim durian’ mungkin tidak relevan kerana setiap pengusaha kini mencari jalan memastikan kesegaran Musang King boleh dimakan setiap masa dan bukan musim tertentu saja,” katanya.

Sumber: Metro