Musang King Negara Jiran Tak Ori


PASIR PUTEH - Orang ramai diminta berhati-hati membeli durian yang diimport dari Thailand, yang didakwa sebagai Musang King atau durian kunyit kerana ia sebenarnya dari varieti yang berbeza.

Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Hortikultur, Pusat Pertanian Batang Merbau, Mansor Ab Latif @ Setra berkata, jika diteliti, fizikal daun dan buahnya berbeza dengan Musang King di negeri ini.

Menurutnya, mungkin ada pihak yang mengambil kesempatan menjualnya kerana harga durian kunyit di negara ini terlalu tinggi.

"Durian dari Thailand itu jenis D159, D158, D123 dan D99 sementara Durian King yang sebenar adalah D197, jangan kita tertipu dengannya.

"Orang ramai boleh merujuk kepada Jabatan Pertanian sekiranya mahu memastikan ciri-ciri Musang King yang sebenar," katanya selepas mengendalikan Kursus Cantuman Durian Kunyit anjuran Pejabat Pertanian Pasir Puteh di Karnival Keusahawanan dan Pertanian Desa di perkarangan Pasar Siti Hajar di sini, hari ini.


Mansor berkata, ada yang tertipu membeli benih pokok durian kunyit yang kononya akan berbuah dalam tempoh tiga tahun sahaja.

"Saya terlibat dalam penanaman durian ini lebih 30 tahun, mustahil pokok durian kunyit mengeluarkan buah dalam tempoh tiga tahun kerana biasanya ia mengambil masa enam tahun.

Menurutnya, beliau terlibat dalam mendaftarkan durian kunyit pada tahun 1993 dengan mengambil 10 ranting untuk dibiak sehingga sekarang terdapat 250,000 pokok di Kelantan.

Sumber: Sinar Online