NAMA pelakon Fatin Afeefa dahulunya terkenal dengan filem kanak-kanak yang bertajuk Tentang Bulan dan bakatnya kini kembali menyinar setelah membintangi drama Red Velvet.
Baru mahu mengecapi kejayaan dalam karier lakonan, timbul pula cerita yang kurang enak didengar yang melibatkan ibu tunggal muda ini.
Khabarnya, pelakon 23 tahun itu memuat naik gambarnya bercium dengan seorang lelaki di Instagram!
Pemilik nama penuh Fatin Nur Afifah Shamsudin ini jelas terkejut dengan tuduhan tidak berasas yang melibatkan dirinya itu, sekaligus menafikan dakwaan tersebut.
“Saya tak tahu tentang foto tersebut dan itu bukan saya. Gila ke saya nak buat benda begitu kemudian post di Instagram.
“Sejujurnya, dua minggu lalu saya ada dengar fasal isu ini tapi saya tak tengok lagi gambar itu dan tak tahu siapa wanita mirip wajah saya.
“Seingat saya, hujung bulan lalu, Instagram saya tidak boleh diakses dan hanya boleh digunakan semula pada pagi hari keesokannya. Tetapi, tak ada pula foto cium tersebut, pelik!,” katanya dipetik mStar Online.
Dalam pada itu, Fatin yakin pihak yang menyebarkan fitnah terhadapnya itu hanya mahu melihat dirinya jatuh.
“Saya rasa ada yang cuba nak jatuhkan saya dengan buat fitnah begini. Saya dah baca gosip tersebut dan kenyataan yang diberi seperti cuba merujuk kepada saya.
“Daripada cerita sumber tersebut, dia seolah-olah tahu di mana rumah saya, apa yang saya lakukan terhadap anak dan sebagainya.
“Saya tahu ini kerja siapa. Tapi tak apa, saya bersabar dahulu. Kalau dia melampau batas, saya tak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah,” ujarnya.
Fatin turut menjelaskan dia tidak terlibat langsung dengan dakwaan yang kononnya dia kini sudah berjinak-jinak dengan dadah sehingga sanggup mengabaikan dua cahaya matanya.
Jelasnya, dia terpaksa menghantar anak-anaknya ke rumah keluarga untuk keluar bekerja dan tidak akan mensia-siakan kerjayanya sebagai seorang pelakon yang baru meningkat naik.
“Disebabkan saya nampak gembira macam tak ada masalah dituduh ambil dadah pula, tak akan saya nak tunjuk sedih setiap saat.
“Saya tinggalkan anak di rumah ibu ketika bekerja. Selesai kerja, saya ambil semula. Saya perlu cari duit untuk mereka, jadi janganlah fitnah dan tuduh saya bukan-bukan,” tambahnya lagi.
Fatin telah berpisah dengan bekas suami yang juga seorang pelakon, Adam Shahz pada Mei lalu selepas empat tahun bernikah.
Hasil pernikahan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. - Kedahnews.com