Naik Uber Percuma Untuk Pengguna Celcom


KUALA LUMPUR – Dalam tempoh beberapa bulan ini, pengguna pascabayar dan prabayar Celcom boleh menaiki Uber secara percuma atau pada kadar diskaun yang ditetapkan.

Ia berikutan Celcom dan Uber menjalin kerjasama bagi memperkukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan kedua-dua syarikat berkenaan.

“Penumpang Uber yang juga pengguna Celcom akan dapat menaiki Uber secara percuma atau dengan kadar diskaun sebagai sebahagian daripada program kesetiaan mereka.

“Mereka juga boleh menaiki Uber secara percuma ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau KLIA2 dengan melanggani pakej perayauan antarabangsa Celcom Passport,” kata Celcom dan Uber dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Menurut kenyataan itu, sebagai ganjaran kepada pemandu Uber yang setia pula, Celcom akan menawarkan mereka pelbagai pilihan peranti yang terkini.

Kata kenyataan itu, peranti itu sesuai dipadankan dengan rangkaian Lightning Fast LTE Celcom serta digabungkan bersama pelan Celcom FIRST™ serta pelbagai faedah tambahan antaranya tiada caj ke atas kuota internet bagi penggunaan aplikasi Uber.

Ketua Pegawai Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, kerjasama itu membolehkan Celcom menyediakan pengalaman digital yang hebat kepada pelanggannya dalam menjalankan urusan seharian di samping memberikan mereka pelbagai ganjaran hebat.

Pengurus Besar Pengembangan Uber Malaysia, Karina Ali Noor pula berkata, pihaknya berasa teruja untuk bekerjasama dengan Celcom.

“Kerjasama ini bakal menjadi salah satu cara untuk Uber terus memberi kejutan dan menggembirakan penumpang dan pemandu dengan pelbagai ganjaran dan pengalaman yang menceriakan,” katanya. - Kedahnews.com