Nelayan Hilang Ketika Menangkap Ikan Di Pulau Kukup


JOHOR BAHRU – Seorang nelayan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika menangkap ikan di perairan Pulau Kukup dekat Pontian, petang semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Johor Bahru Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata Putra Aminurrashid Zaidi, 21, dilaporkan menangkap ikan bersama dua rakan lain sebelum dipercayai terjatuh akibat hilang keseimbangan kerana gelombang laut.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor Bahru menggerakkan KM Nipah bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Putra Aminurrashid sejurus menerima panggilan kecemasan pada 6.45 petang semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Haris Fadzillah berkata gerakan SAR turut disertai Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta dibantu nelayan tempatan. Beliau berkata pencarian ditumpukan di kawasan Putra Aminurrashid dipercayai hilang iaitu lebih kurang 0.2 batu nautika selatan Pulau Kukup.

Katanya operasi yang diteruskan hari ini akan diperluas sehingga 12 batu nautika sekiranya Putra Aminurrashid masih gagal ditemui.

“APMM memandang serius terhadap sebarang kecemasan di laut dan mengingatkan kepada semua komuniti maritim agar memaklumkan APMM dengan segera. Orang ramai disaran menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Daerah Maritim Johor Bahru di talian 07-2199496 / 010-3211066 untuk sebarang aduan kesalahan atau jenayah di laut.– Bernama