Nelo Vingada Letak Jawatan Ketua Jurulatih Kebangsaan


ALOR SETAR - Nelo Vingada mengumumkan perletakan jawatannya sebagai jurulatih skuad kebangsaan susulan prestasi buruk pasukan itu sepanjang kendaliannya.

Keputusan berkenaan dibuat selepas Vingada mengadakan perbincangan dengan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebentar tadi.

Menurut sumber dari Facebook rasmi FAM, Vingada melepaskan jawatannya atas rasa tanggungjawab dengan prestasi merudum skuad Harimau Malaya sejak beliau dilantik sebagai jurulatih pada Mac yang lalu.

Jurulatih kelahiran Portugal itu berkata, keputusan ini telah berkuat kuasa serta merta dan telah dipersetujui Presiden FAM.

Tambahnya lagi, dua pembantu yang dibawa beliau bersama ke sini iaitu Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan Francisco Jose Bruto Da Costa turut bersama melepaskan jawatan mereka, masing-masing selaku penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan skuad kebangsaan.

Vingada yang mengambil alih tugas Datuk Ong Kim Swee melatih skuad kebangsaan berharap agar bola sepak Malaysia kembali bersinar dan berbangga kerana pernah menjadi sebahagian keluarga dalam bola sepak negara walau dalam tempoh singkat.- Kedahnews.com