TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Sebab itulah sebelum membuat sebarang kenyataan lebih-lebih lagi di media sosial, fikirkan dahulu hati dan perasaan orang lain.
Bukan apa, silap-silap nanti termalu sendiri pula, seperti yang berlaku kepada seorang netizen yang mengutuk bekas pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004 peringkat kebangsaan, Dr. Nur Amalina Che Bakri di laman Twitter baru-baru ini.
Pada mulanya, Amalina cuma berkongsikan tips penjagaan rambut yang diamalkannya untuk mendapatkan rambut yang sihat dan cantik kerana ramai pengikutnya yang bertanya.
Namun, seorang pengikut lelaki bernama Fadhil Zakri secara tiba-tiba melemparkan teguran sinis kepada wanita yang bakal doktor pakar yang kini sedang menjalani latihan surgikal di The Royal College of Surgeons of England itu.
Kata Fadhil Zakri: “Rugi2 blaja jauh2 jadi macamni,” yang kemudiannya dibalas ‘padu’ oleh Amalina:
“Oh yea ker? Rugi ker? Masa syif malam tadi, saya bedah dua orang. 1 hampir mati dan 1 orang lagi hampir kehilangan kakinya. Awak buat apa hari ni? Tengok porn?”
Perrgh! Memang tepat menyengat kata-kata Amalina itu!
Fadhil kemudiannya meminta maaf dengan memberi alasan ‘tersilap post’ sebelum bertindak untuk nyahaktifkan akaun Twitternya. Ha, tahu malu sendiri kan?
Tetapi drama itu tidaklah berakhir di Twitter sahaja.
Terhibur dengan ‘semburan’ Amalina kepada lelaki itu, netizen mula bertindak sebagai 'detektif’ dan suka mencari salah orang lain dengan melakukan intipan terhadap aktiviti Fadhil Zakri di laman sosial mikro itu.
Dan akhirnya, ‘terkantoi’ jua sifat hipokritnya apabila dia didapati telah meninggalkan komen lucah terhadap seorang bintang filem porno di dalam Twitter wanita tersebut:
Itulah, lain kali kalau nak tunjuk ‘ustaz’ pun di media sosial, pastikan dahulu dua perkara ini:
1. Anda seorang manusia yang benar-benar sempurna tanpa sebarang kesilapan langsung, dan
2. Orang yang mahu diperli atau dikritik itu bukanlah daripada golongan yang lebih cerdik,berjaya dan mejalani kehidupan yang lebih positif daripada anda.
Sebelum ini, Amalina pernah dikritik hebat gara-gara penampilannya tidak ‘mencerminkan gadis Timur’ dan kononnya dia sudah lupa daratan.
Malah, ada juga segelintir netizen yang cetek akal mengaitkan penampilan Amalina seperti Kim Kardashian!
Walau apa pun tohmahan yang dilemparkan kepadanya, Amalina terus kuat menghadapi kehidupannya di Eropah dan daripada apa yang kami perhatikan dalam media sosialnya, Amalina begitu seronok menetap dan berkhidmat di sana.
Kepada abang dan kakak bawang, tak perlulah menilai orang daripada pakaiannya sahaja. Mana tahu, esok-esok awak atau ahli keluarga awak sakit dan perlukan khidmat Dr. Amalina? Fikirkan! - Kedahnews.com