''Niat Saya Mahu Beri Orang Peluang Merasa Durian'' - Musang King Dijual RM30 Sekilo


KUALA LUMPUR - “Niat saya cuma mahu beri orang peluang merasa durian. Tak kisahlah untung sedikit saja, asalkan lepas balik modal dan durian saya laku,” demikian kata Zaidi Sudin, 56, penjual raja buah sejak lebih 30 tahun lalu.

Tinjauan Metro Ahad di gerainya di Taman Dato’ Senu, Sentul mendapati Musang King dijual pada harga RM30 hingga RM35 sekilogram bergantung kepada gred manakala D101 dan D24 mencecah RM20 sekilogram, D2 (RM25) XO (RM30) dan Tekar (RM35).

Zaidi mengakui, Musang King dijual murah di gerainya kerana bekalan mudah didapati berbanding durian jenis lain yang sukar diperoleh disebabkan kurang pengeluaran.

“Walaupun sudah tiba musim buah namun pengeluaran belum menyeluruh kerana bukan semua kawasan pengeluar durian menuai hasil serentak apatah lagi kebanyakan durian kali ini tidak begitu menjadi apabila putiknya gugur terlalu awal disebabkan cuaca tidak begitu baik.

“Bagaimanapun, berbeza dengan Musang King, ia agak unik kali ini kerana lebih mudah didapati pada harga murah daripada pembekal kerana pengeluarannya banyak disebabkan ramai pekebun mengusahakannya.

“Atas faktor itu, saya boleh jual Musang King serendah RM30 sekilogram berbanding durian jenis lain yang mahal dan sukar didapati,” katanya yang mengambil bekalan dari Raub, Pahang.

Menurutnya, walaupun menjual lebih murah daripada harga pasaran namun permintaan terhadap semua durian masih kurang memberangsangkan.

“Saya sedar pada peringkat permulaan ini, masih ramai peminat durian belum mampu beli durian sebab itu saya tidak mahu tanggung risiko dengan harga mahal.

“Namun itupun kurang mendapat sambutan apabila saya hanya dapat jual sehari cuma empat hingga lima bakul saja (sebakul 40 hingga 50 kilogram bergantung kepada saiz durian) berbanding tiga tahun lalu boleh mencecah jualan 20 hingga 30 bakul sehari,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa gerai lain di sekitar Lembah Klang, mendapati harga durian tidak menentu apabila ada penjual menjual D24 antara RM25 hingga RM35, D2 (RM25-RM28), XO (RM30-RM38), durian kampung (RM16-RM20) serta Musang King (RM40-RM90) mengikut gred.

Bagi, Aswali Mansuri, 54, pendapatan harian tidak menentu berikutan sambutan membeli daripada peminat durian kali ini hambar dan kurang mendapat sambutan.

“Pendapatan kami tidak menentu ada kalanya laku empat hingga lima bakul sehari ada kalanya sukar hendak cakap mungkin keadaan ekonomi sekarang membuatkan orang berkira mahu keluar duit.

“Kami tiada pilihan, jika jual durian murah jangankan untung mungkin modal pun tak dapat balik kerana bekalan diambil setiap hari langsung dari Bentong dan Raub, Pahang.

“Sebenarnya kami tidak ambil untung banyak pun. Kami perlu tanggung kos logistik termasuk lori sewa dan minyak selain harga durian yang dibeli daripada orang tengah berganda daripada pengusaha asal,” katanya.

Sumber: MyMetro