Nidzam Tidak Kecil Hati Tidak Tercalon Dalam ABK2017


ALOR SETAR - Bekas ketua jurulatih Kedah Nidzam Adzha Yusoff yang berjaya membawa Kedah menjuarai Piala FA dan naib juara Piala Malaysia 2017 baru baru ini tidak berkecil hati walaupun namanya tidak disenaraikan sebagai calon jurulatih terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK 2017) yang berlangsung, kelmarin.

Menurut Nidzam, beliau tetap positif malah merasa bangga dengan pencapaian anak buahnya yang berjaya merangkul banyak kejayaan termasuk Anugerah Pemain Paling Bernilai yang dimenangi Baddrol Bakhtiar.

“Saya tidak berkecil hati walau nama tidak tercalon, malah berbangga dengan pencapaian Kedah yang berjaya mendominasi kategori yang dicalonkan dan kejayaan dilakar semua sembilan kategori anugerah adalah satu pencapaian terbaik dalam sejarah bola sepak Kedah.

“Ada yang bertayakan saya mengenai nama saya tidak tercalon dalam anugerah itu, tapi saya tak anggap hal itu sebagai satu halangan, malah impian saya kini mahu terus fokus membantu Kedah melakar kejayaan berterusan untuk pasukan Kedah pada musim hadapan yang dijangka lebih mencabar.”

Dalam pencalonan kategori Anugerah Jurulatih Terbaik itu, tiga nama jurulatih yang tercalon ialah Irfan Bakti Abu Salim (Terengganu), B Sathiananthan (Felda United) dan Abu Bakar Fadzim (PKNP FC), di mana kemenangan berpihak kepada ketua jurulatih FELDA United, B Satiananthan.

Nidzam yang menyertai skuad senior Kedah pada 2015 sebagai pembantu jurulatih, dilantik menjadi ketua jurulatih Kedah pada April lalu bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang menyertai barisan kejurulatihan kebangsaan sebagai pembantu jurulatih skuad Harimau Malaya. Antara kejayaan yang dilakar Nidzam sepanjang bergelar ketua jurulatih adalah membawa skuad Lang Merah menjuarai Piala FA pada Mei lalu dan terkini sebagai naib juara Piala Malaysia 2017.

“Walaupun pernah membawa pasukan bergelar juara Piala FA pada musim ini, saya rasa tidak perlu saya mendabik dada dan merasa puas hati, sebaliknya apa yang lebih penting adalah meneruskan usaha serta prestasi Kedah ke tahap lebih baik,” katanya.

Sumber: MyMetro