ISTANBUL - Keberanian Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengisytihar Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel adalah bersebab.
Presiden Iran Hassan Rouhani menegaskan pada Rabu, tindakan itu dibuat kerana ada pihak di rantau tersebut mahu mewujudkan hubungan dengan Israel.
Tanpa menamakan pihak tersebut, kenyataan Hassan di Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul itu dipercayai merujuk kepada seteru Iran, Arab Saudi.
"Ada provokasi yang menyebabkan tindakan ini. Sudah pasti ia melibatkan usaha pihak tertentu untuk mewujudkan hubungan dengan rejim Zionis," katanya ketika membuat kenyataan pada sidang berkenaan.
Kata Hassan, Riyadh mahu kerjasama lebih erat dengan Israel, bagi menangani pengaruh Iran yang semakin kuat di rantau berkenaan.
Tehran juga menyifatkan Amerika kini membuktikan ia bukan pengantara yang jujur dalam rundingan damai Palestin-Israel.
Sebaliknya, satu-satunya alasan Washington terlibat dalam rundingan berkenaan hanya bagi menjaga kepentingan Israel, katanya.
Sumber: Astro Awani