Orang Islam Solat Di Luar Rumah Putih Bantah Tindakan Trump


WASHINGTON - Ratusan orang Islam menghadiri solat Jumaat di depan Rumah Putih bagi membantah keputusan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Menjawab seruan pertubuhan orang Islam AS, ahli jemaah membentangkan sejadah di taman yang berdepan dengan kediaman presiden itu.

Sambil memakai skarf warna bendera Palestin, penunjuk perasaan mengangkat sepanduk mengecam pendudukan Israel di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat.

Pada Rabu, Trump mengisytiharkan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan mengumumkan pemindahan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis –membelakangkan diplomasi AS dan masyarakat antarabangsa yang berdekad lama.

“Trump bukan pemilik tanah Baitulmaqdis dan Palestin. Dia pemilik Menara Trump. Dia boleh serah menara itu pada Israel,” kata Nihad Awad, pengarah eksekutif di Majlis Hubungan Islam-Amerika (CAIR) kepada AFP.

Presiden “memberi kekuatan kepada ekstremisme agama Kristian di AS,” tambahnya.

Berucap di samping tokoh masyarakat Islam AS di tunjuk perasaan itu, Awad menyeru Trump “mendahulukan kepentingan AS, bukannya kuasa asing atau pelobi mereka di AS.”

Seorang lagi penunjuk perasaan, Zaid al-Harasheh, memberitahu AFP keputusan Trump “bukan untuk perdamaian” dan hanya “mencipta lebih banyak huru-hara.”

Pengisytiharaan Trump mencetuskan kemarahan di dunia Islam.

Pada Jumaat, pertembungan antara ribuan warga Palestin dan pasukan keselamatan Israel di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza menyebabkan 2 orang terbunuh dan puluhan cedera.

Israel menawan Baitulmaqdis Timur dari Jordan pada 1967 dan kemudian mengilhakkannya, langkah yang tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Negara Yahudi itu menganggap Baitulmaqdis ibu negara mereka, tetapi warga Palestin percaya Baitulmaqdis Timur diduduki secara haram dan menganggapnya ibu negara Palestin di masa depan.

Sumber: FMT