MOTIF utama penyebaran berita palsu bertujuan menjatuhkan calon dan parti bertanding supaya sokongan merosot yang mana digelar character assasination dan amat popular dalam dunia politik.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, fenomena ini wujud kerana masyarakat negara ini mudah percaya mengenai keburukan orang lain.
Hal ini kerana katanya, ia lebih sensasi berbanding cerita kebaikan yang dibuat oleh seseorang.
“Sebab itulah berita ‘kejelikkan’ seseorang individu itu lebih mudah tersebar, misalnya cerita skandal lebih tular dan mendapat perhatian berbanding cerita orang menderma.
“Justeru, semasa kempen pilihan raya kita lebih ‘ramah’ dengan pelbagai sajian cerita mengenai keburukan lawan kerana orang lebih seronok mendengar dan mudah percaya,” dedahnya.
Nik Ahmad Kamal yang juga Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, penyebaran berita palsu bukan fenomena baharu dalam menghangatkan kempen pilihan raya.
“Pilihan raya sebelum zaman internet pun dah ada berita palsu ini, tetapi menggunakan medium surat layang dan juga poster.
“Era internet sejak PRU11 sudah mula menggunakan dunia siber untuk menjatuhkan sesuatu parti dan calon menerusi berita palsu,” ujarnya.
Sementara itu, menurut beliau virus sebaran berita palsu ini meninggalkan impak kepada calon dan parti.
“Besar kesannya jika berita palsu itu dipercayai pengundi, ia boleh mengakibatkan hilang sokongan, hilang undi.
“Kesan kepada calon dan parti amat besar, sebab itu perlu ada counter measure. Undang-undang pun wajar dilaksanakan dengan tegas.
“Counter measure paling efektif ialah segera sebarkan penafian dan jawab tuduhan dengan fakta,” katanya. - Sinar Harian