"Pak gaurd" Dipenjara 4 Hari, Denda RM6,000 Ancam Pemandu Guna Kayu Hoki


KLANG - Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menakutkan seseorang dengan kayu hoki di Bulatan Bandar Barkeley, di sini Sabtu lalu.

Majistret Nor Asma Ahmad memutuskan demikian selepas  tertuduh, T. Mathan, 25, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

 Mengikut pertuduhan, dia didakwa menakutkan secara  jenayah dengan menghayun kayu hoki ke arah Huang Tiong Yeong, 37, di Bulatan Berkeley, Klang, kira-kira pukul 1.15 petang, 16 Disember lalu.

Pendakwaan ke atas Mathan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dia yang diwakili peguam bela Gerard Lazarus memohon hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan ibu bapa, isteri dan anak berusia tiga tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Amirah Abdul Aziz yang mengendalikan kes memohon hukuman setimpal kerana mengambil kira faktor kepentingan awam selain kes buli jalan raya yang berleluasa.

Nor Asma kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat hari bermula tarikh ditangkap pada Isnin lalu dan tambahan selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Sumber - Kosmo