PALSU: Jangan Percaya Gambar Palsu Ini

ALOR SETAR - Kedahnews.com menafikan pernah menyiarkan laporan mengenai kononnya Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sedang berura-ura untuk mendapatkan pengurus pasukan baru sebagaimana yang tular diperkatakan baru-baru ini.

Pihak editorial portal berita Kedahnews.com ini juga menafikan sekeras-kerasnya pernah menyiarkan sekeping gambar yang memaparkan Timbalan Presiden KFA, Dato' Syed Unan Mashri Syed Abdullah bersama anaknya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri dan Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin, di mana-mana penerbitan kami.

Menurut sumber dalaman pejabat Menteri Besar, gambar tersebut yang menggunakan "watermark" Kedahnews.com tular sejak semalam di media sosial mendakwa kononnya individu yang terdapat dalam gambar tersebut adalah calon untuk menggantikan pengurus skuad Lang Merah.

Kedahnews.com juga tidak pernah memiliki gambar asal yang tular itu, malah "watermark" yag terdapat pada gambar berkenaan juga dipercayai palsu dan sengaja diletakkan pada gambar tersebut oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Pihak kami juga yakin bahawa gambar yang memanipulasi "watermark" Kedahnews.com itu sengaja dibuat sedemikian oleh pihak tidak bertanggungjawab tersebut bagi mengelirukan orang ramai dengan dakwaan berbaur tohmahan tersebut.

Kedahnews.com menyeru kepada semua pihak supaya tidak mempercayai "propaganda" pihak berkenaan yang dipercayai sengaja dilakukan untuk menjejas nama baik portal ini dan imej individu di dalam gambar itu.

Sekian, harap maklum.

Editorial Kedahnews.com