PAS Persoal Kenapa PPBM Tidak Buka Keahlian Kepada Semua Kaum


Mengapa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak membuka keahliannya kepada semua kaum tapi hanya  untuk  Melayu sahaja?

Mengapa Pakatan Harapan bermain politik kaum di dalam susunan jawatan tertinggi pakatan. Adakah supaya dilihat ia dipimpin oleh orang Melayu sedangkan yang mempunyai kerusi parlimen terbesar ialah DAP?

Dua persoalan itu dibangkitkan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi menjawab pihak tertentu yang terus menyerang PAS ekoran kenyataan Presiden Datuk Abdul Hadi Hadi Awang baru-baru ini.

Hadi baru-baru ini yang menempelak Pakatan Harapan kerana lebih mengutamakan kedudukan jawatan Perdana Menteri daripada kepentingan rakyat. Beliau menganggapkan ia tidak mengikut adab Islam sepertimana yang diajar Rasullullah SAW. 

"Semua ini hanyalah politik kemurahan mereka yang sengaja menyerang Presiden PAS berdasarkan fitnah kerana mereka bimbang dengan perkembangan dan pertambahan pengaruh PAS, " kata Tuan Ibrahim yang dipetik di Harakahdaily semalam.

Beliau berkata, apa yang dinyatakan oleh Presiden PAS ialah Melayu-Islam perlu memimpin di dalam konteks politik Malaysia sementara  bukan Islam pula diterima untuk memerintah bersama (sebagai anggota kabinet) di dalam bidang-bidang kepakaran dan pengurusan.

Bagaimanapun ujar Tuan Ibrahim ada pemimpin yang tidak membaca ulasan Presiden PAS bertajuk "Mengapa kalau Islam tidak boleh?" terus mengulas berdasarkan tajuk sensasi yang dipilih sebilangan portal media untuk memutar belit maksud sebenar kenyataan Abdul Hadi.

Menurut Tuan Ibrahim lagi tiada satu ayat pun di dalam kenyataan Presiden PAS itu yang menyebutkan 'kabinet Melayu sahaja'. Olahan tajuk sensasi ini jauh daripada maksud sebenar ulasan Presiden PAS.

(Presiden PAS pada 22 Disember lepas menyatakan: “Dalam aspek politik, Islam tegas mewajibkan kepimpinan utama yang menjaga dasar dan konsepnya daripada penganut Islam dan menerima bukan Islam dalam aspek kepakaran dan pengurusan, bukannya perkara dasar dan konsep. Maka Islam menerima kedudukan bukan Islam melalui pilihan raya atau konsep kerajaan teknokrat.")

"Ayat-ayat di atas jelas menyatakan kabinet bayangan Presiden PAS adalah dari pelbagai kaum, cuma yang memimpinnya mestilah penganut Islam. Di mana rasisnya Presiden PAS? tanya Tuan Ibrahim lagi.

Menurut beliau kedudukan barisan menteri kabinet  itu juga menjadi dasar PPBM, DAP, PKR, PAN dan juga Barisan Nasional.

 "Apakah mereka yang menuduh Presiden PAS rasis tidak bersetuju bahawa yang perlu memimpin Malaysia ialah dari kalangan penganut Islam? Jika ya, sila nyatakan pendirian ini secara terbuka, " ujarnya lagi.

Sementara itu Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa PAS sudah serik dengan parti politik yang lain yang hidup atas fitnah dan persepsi semata-mata. 

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan menjelaskan  kenyataan Presiden PAS baru-baru ini telah disalahertikan pihak tertentu. - Kedahnews.com