‘Pasar Malam Malaysia’ Di Chile Kongsi Juadah Enak


KUALA LUMPUR – Kedutaan Besar Malaysia di Chile menganjurkan ‘Pasar Malam Malaysia’ buat julung kalinya di pekarangan kedutaan itu di Santiago, Khamis, bagi memperkenalkan keenakan makanan dan kebudayaan Malaysia.

Kedutaan itu, dalam kenyataan hari ini, berkata lebih 400 tetamu menghadiri pasar malam tersebut yang bermula pada jam 2 petang sehingga 7 malam.

“Tetamu yang hadir menikmati makanan kegemaran Malaysia seperti satay, nasi goreng, mi goreng, pisang goreng, ubi keledek goreng, popiah, kuih ondeh-ondeh, tosai, air batu campur (ABC) dan teh tarik. Turut dipromosikan produk Malaysia yang dipamerkan oleh Pejabat Matrade di Santiago,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, tetamu turut dipersembahkan dengan paluan kompang oleh Duta Besar Malaysia ke Chile, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dan pegawai kedutaan dengan nyanyian lagu ‘1M4U’, ‘Rasa Sayang Hei’, ‘Puteri Santubong’ serta lagu Sepanyol ‘Chile’ selain persembahan silat Malaysia oleh Persatuan Silat Chile Malaysia.

Antara tetamu yang hadir adalah pelumba basikal negara iaitu Muhammad Khairil Nizam Rasol, Farina Shawati Mohd Adnan, Junaidi Mohd Nasir dan Mohd Izham Mohamad yang kini berada di Chile bagi menyertai siri keempat Kejohanan Trek Piala Dunia UCI di Santiago, pada Sabtu dan Ahad ini. – BERNAMA