GEORGETOWN - Isu berkaitan kejadian banjir yang kerap berlaku di Pulau Pinang sehingga menjejaskan peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini, dijangka menghangatkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Ke-71.
Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Norliza Abd Rahim, berkata tiga usul berkaitan kekerapan kejadian banjir di Pulau Pinang akan dibincangkan bagi perhatian Kerajaan Persekutuan, sekali gus mencari penyelesaian terbaik menyelesaikan permasalahan itu.
Katanya, isu banjir di negeri ini dipilih selepas perwakilan Wanita UMNO Pulau Pinang diberi mandat untuk membincang dan membahaskan perihal berkaitan ekonomi membabitkan golongan peniaga IKS.
"Selain itu, kerajaan DAP Pulau Pinang juga dilihat gagal menyalurkan bantuan secukupnya kepada golongan peniaga IKS yang terjejas berikutan banjir yang kerap berlaku di negeri ini.
"Kita berharap Kerajaan Persekutuan dapat melihat dan mencari penyelesaian terbaik untuk menstabilkan semula bidang IKS yang terjejas susulan banjir di Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Dalam kejadian 5 November lalu, sebahagian besar kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir sehingga mencecah dua meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat yang turut meragut tujuh nyawa.
Pada 2 November lalu, kerajaan negeri memaklumkan sebanyak 119 kejadian banjir kilat direkodkan sejak 2013 hingga 15 Oktober lalu, dengan masing-masing sebanyak 22 kali pada 2013; 20 (2014); 26 (2015); 30 (2016) dan 21 kes sama direkodkan sehingga 15 Oktober tahun ini.
Norliza berkata, PAU juga dilihat sebagai medium terbaik untuk mengetengahkan penderitaan rakyat di negeri ini yang terjejas teruk akibat banjir apabila pentadbiran kerajaan negeri dilihat lemah dalam mengatasi masalah itu.
Dalam pada itu, beliau berkata, perwakilan Wanita UMNO negeri juga akan mempromosikan Batik Pulau Pinang yang dilancarkan isteri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Majimor Shariff baru-baru ini, dengan turut menyediakan demonstrasi mencating batik sepanjang persidangan.
Sumber: BH Online