#PAU2017: DAP Serang Institusi Raja Untuk Hancurkan UMNO


DAP kini menggunakan pendekatan baharu untuk menghancurkan UMNO menerusi serangan ke atas institusi raja-raja Melayu.

Gerakan itu dilakukan selepas parti itu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) gagal menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun berbagai cara dilakukan.

Kegagalan pakatan pembangkang  itu menyebabkan ia mengubah pendekatan dengan mencabar kedaulatan Islam dan raja-raja Melayu.

Datuk Zainal Abidin Sakom yang mewakili UMNO Selangor semasa membahas usul agama di Perhimpunan Agung UMNO hari ini mendedahkan  strategi baharu itu dimulakan dengan kenyataan ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang mempersoalkan teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada pemimpin yang membangkitkan isu sensitif untuk kepentingan peribadi.

Zainal yang juga Ketua Bahagian Hulu Selangor, berkata UMNO akan terus berdiri teguh dan mematahkan serangan pakatan terbabit untuk memastikan Malaysia kekal harmoni dan memartabatkan lagi kedudukan institusi Diraja.

"Perlembagaan negara ini secara jelas menyatakan agama Islam sebagai agama rasmi, pemimpin mesti mendukung perkara itu dalam memperjuangkan apa jua agenda.

"Ahli UMNO perlu meletakkan isu Islam sebagai status wajib, kena pertahankan isu berbangkit secara luar biasa. Pembangkang, DAP ikhtiar nak rosakkan UMNO.

"Sejak 2008, Presiden UMNO diserang bertubi-tubi (oleh pembangkang), kerana mahu menjatuhkan UMNO.

Parti kita dilemah dan diburukkan, dihina tetapi UMNO tidak goyang malah lebih semangat dalam menentang apa jua cabaran, " kata beliau lagi.

 Skarang mereka mula serang ketua agama Islam di Selangor (Sultan Selangor), teguran baginda dipersoalkan oleh Zaid," katanya.

Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini dilaporkan enggan memohon maaf kepada Sultan Selangor berhubung 'tweet' beliau terhadap baginda.

Sementara itu  Zainal menzahirkan rasa kesyukuran apabila melihat Selangor masih diambil berat oleh Kerajaan Persekutuan walaupun negeri itu  ditadbir pihak pembangkang.

Rakyat Selangor sedar mengenai perkara itu dan mereka perlu membantu UMNO untuk memberi mandat kepada BN bagi  mengambil alih pentadbiran negeri itu selepas PRU14 ini, kata Zainal. Kedahnews.com