#PAU2017: Pakatan Bermasalah, Korupsi, Takut Pada Bayangan Sendiri - Syed Johan

 
ALOR SETAR - Parti pembangkang, khususnya parti yang membentuk Pakatan Harapan sebenarnya penuh dengan masalah, mengamalkan korupsi dan takut kepada bayang-bayang sendiri.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, lantaran menyedari hakikat itu, mereka memomokkan harapan palsu bagi mengelirukan rakyat di negara ini.

"Medium media sosial dimanfaatkan (oleh pembangkang) sepenuhnya sehingga dilakar titik hitam seolah olah UMNO itu sarat dengan isu, kontroversi dan masalah.

"Padahal pakatan pembangkanglah sebenarnya bermasalah, korupsi dan takut bayang sendiri. Maka diketengahkan mereka 'harapan palsu' sebagai sajian untuk melekakan dan mengelirukan rakyat," katanya kepada Kedahnews.com ketika dihubungi, hari ini.

Syed Mohd Johan Rizal yang hadir ke Perhimpunan Agung UMNO ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) merupakan salah seorang perwakilan daripada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar.

Beliau berkata, UMNO sebenarnya turut dicemburui pihak pembangkang ekoran telah menempa pelbagai kejayaan sejak dari zaman merdeka sehingga kini.

"Realiti kejayaan UMNO dalam tiga aspek dicemburui kawan lawan. Pertama kerana keupayaan mengurus negara dalam kepelbagaian etnik budaya dan agama.

"Kedua, strategi ekonomi yang betul menerusi pertumbuhan dan agihan sehingga mencipta keadilan sosial. Ketiganya, kerana kebolehan meletakkan negara tersohor di pentas antarabangsa.

"Inilah pada saya kesejagatan politik dan keterangkuman yang diketengahkan oleh TPM. Selain realiti kejayaan inilah yang diutarakan oleh Khairy Jamaluddin dalam ucapan dasarnya," ujarnya.

Mengulas mengenai kedudukan UMNO yang terkini, beliau menjelaskan bahawa parti yang menunjangi agama Islam, bangsa dan negara itu sentiasa segar dan kekal relevan sepanjang masa dengan pendekatan yang lebih pramatis.

Tegas beliau, malah parti tunjang negara itu kini semakin teguh sebagai sebuah jemaah parti yang besar untuk mendepani pelbagai cabaran pada masa akan datang.

"Hakikatnya UMNO akan terus segar dan relevan kerana pendekatannya pragmatis. Visinya jelas, cakna komuniti dan memahami aspirasi generasi kini selain sentiasa bersedia dengan opsye bagi keperluan generasi akan datang.

"Kini, UMNO semakin kuat. Bukan dek individualistik mana-mana pemimpin, tapi solidariti ahli demi keunggulan parti dalam mengorak langkah sebagai parti yang lebih segar, masakini dan bersedia untuk revolusi masa depan," tegasnya penuh semangat.

Lebih 5,000 perwakilan UMNO kini sedang bersidang di Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC yang dikatakan menjadi himpunan terakhir sebelum menempuh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka berlangsung kurang dari empat bulan dari sekarang.

Presiden UMNO, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dijangka bakal menyampaikan amanat beliau sekali gus memalu "gendang perang" politik, menandakan parti itu kini masuk "gear" paling bertenaga dalam kesiapsagaan untuk menghadapi pilihan raya. - Kedahnews.com