#PAU2017: PPBM Tidak Lagi Mendapat Tempat Di Hati Rakyat Kedah


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mempunyai tempat di Kedah meskipun diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, orang asal negeri berkenaan. 

Begitu juga anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang merupakan bekas Menteri Besar Kedah. 
"Kita ahli UMNO sendiri tak sembang sangat pasal parti lawan kita. Di Kedah ni parti bunga...mereka ni tak kuat mana pun, parti bunga ni parti 'kanyaq' . Tahu tak apa kanyaq? Kalau bahasa orang putih ia bermaksud ‘premature’ (belum matang). 

"Nak susun parti pun tak tentu hala...nak cari pemimpin bahagian pun tak mampu, buat mesyuarat agung pun tak berjaya. Baru-baru ini berapa ramai pemimpin bunga Kedah keluar parti. Belum apa-apa lagi mereka dah hilang keperpercayaan," kata Ketua Pemuda Kedah, Datuk Saiful Hazizy Zainol Abidin membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO di perhimpunan agung parti semalam.
Tambah Saiful Hazizy, kini bukan lagi masa untuk UNNO berdiam diri selepas PPBM melancarkan serangan tanpa henti terhadap Presiden Datuk Seri Najib Razak dan juga parti. 

"Kita kenal dan tahu orang parti bunga.. cuma kita ni jenis baik, tak buka keburukan orang. Tapi rasanya masa nak simpan rahsia buruk mereka  dah tamat, sekarang masa kita serang akan pastikan cerita-cerita songsang, kita singkap satu demi satu. 

"Ini bukan masa bertahan, kalau mereka boleh serang presiden pagi petang siang malam depan belakang, mereka perlu rasa musibah yang sama," kata beliau. 

Mengakhiri perbahasan, beliau yang mewakili UMNO Kedah  menghadiahkan dua rangkap pantun kepada parti yang diterajui Dr Mahathir itu. 

"Guruh berdentum bumi bergegar, 
"Ayam jaguh sedang bersabung, 
"Bukan sekadar suara berdegar, 
"Hulur senjata kita bertarung. 

"Bunga putih di mana serinya, 
"Nampak pucat menuju mati, 
"Parti bunga mana kuatnya, 
"Takut ditalkin ahli sendiri. - Kedahnews.com