KUALA LUMPUR - “Saya pedih ulu hati, doktor!” begitu jerit pengunjung Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 apabila melihat kecantikan Dr Sharifah Nur’ Insyirah Saifuddin Shah.
Hanya membalas pujian itu dengan senyuman, bekas naib presiden Kelab UMNO Luar Negara di Rusia tersebut dilihat tersipu malu apabila diusik dengan gurauan "nakal" pengunjung lelaki pada perhimpunan tahunan itu.
Gadis berusia 25 tahun itu merupakan graduan bidang perubatan dari Universiti Perubatan Kursk, Rusia yang baru menamatkan pengajian pada Julai lalu.
"Saya sedang menunggu surat panggilan untuk memulakan perkhidmatan sebagai doktor di sini dan sementara tempoh itu, saya masih ulang kaji pada setiap hari supaya ilmu itu tidak dilupakan.
"Bila orang tahu kita pelajar perubatan, mereka akan tanya tentang penyakit biarpun saya masih belum ‘posting’ sebagai doktor pelatih (houseman)," katanya yang menjadikan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor sebagai idolanya.
Jemputan Alumni Kelab Umno Luar Negara yang mesra disapa Afa ini adalah anak tunggal kepada pasangan ibu bapa berdarah campuran Melayu, Cina dan Belanda sebelah ibunya dan Pakistan, Arab dan India pula di pihak bapa.
Katanya, status sebagai anak tunggal juga membuatkan dia sentiasa menjaga nama baik kedua ibu bapa sebelum membuat sesuatu agar tidak mencalarkan maruah keluarga.
Ketika ditanya mengenai isu hangat yang mendakwa terdapat bukan muhrim berkhalwat ketika perhimpunan parti itu berlangsung, Afa berkata, dakwaan tersebut seperti sengaja mencipta kontroversi kerana ia "bukanlah masa yang sesuai".
“Seperti kita tahu, semua perwakilan bersidang di sini dari pagi hingga malam. Jadi, tiada masa untuk berbuat maksiat.
"Pihak yang membuat dakwaan itu pasti ke mereka yang berkhalwat itu ahli Umno,” soalnya ketika ditanya berhubung dakwaan yang dilemparkan terhadap ahli parti itu.
Tambah Afa, kenyataan yang diberi berhubung dakwaan itu berdasarkan pengalamannya menghadiri PAU sebagai perwakilan dan pemerhati masing-masing pada 2013 serta 2016 dan tahun ini atas jemputan Alumni Kelab Umno Luar Negara.
Selain itu, katanya, sementara menunggu panggilan pekerjaan daripada Kementerian Kesihatan, gadis kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu, dia tidak gemar duduk diam sahaja di rumah dan sedang berjinak-jinak dalam dunia peragaan serta pengacaraan untuk memanfaatkan masa terluang.
Gadis itu turut dilantik menjadi jurucakap produk kecantikan jenama antarabangsa, Airish London di negara ini. - mStar