KEMELUT yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut mendapat perhatian para perwakilan pada Persidangan Puteri dan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) hari ini.
Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyifatkan tindakan srikandi PPBM di Kedah yang meninggalkan parti baru- baru ini tidak sepatunya dikesali patut dikesali oleh bekas ahli Puteri UMNO negeri itu.
"Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Ketua Srikandi PPBM Kuala Kedah yang juga sahabat kami yang telah mengisytiharkan diri keluar dari PPBM. Syabas dan selamat kembali ke pangkal jalan!," kata Mas Ermieyati.
Katanya, ini kerana sehingga sekarang pun, PPBM belum mampu melangsungkan mesyuarat agung.
"Jika isu asas sebegini pun masih menjadi kendala, bagaimana parti mereka boleh memimpin Pakatan Harapan? Pemimpin ARMADA pun mendesak PPBM itu dibubarkan," katanya lagi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Puteri UMNO di PWTC hari ini.
Menurut beliau, sewaktu pemimpin mereka terus berlagak bagai merak yang menayangkan kecantikan bulunya, mereka tidak sengaja menampakkan sepasang kaki yang hodoh.
Ini berbeza dengan UMNO, kata beliau di mana pemimpinnya terus konsisten dengan mengamalkan politik yang matang.
Sewaktu ada pemimpin pembangkang yang terlantar di hospital, Datuk Seri Najib dan timbalannya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi masih sempat mencari masa untuk melawat.
Ketika pelbagai kritikan tidak berasas dilakukan pembangkang, Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri turun juga ke Pulau Pinang bagi memastikan rakyat di sana diberikan pertolongan sewajarnya.
Politik yang penuh manusiawi seperti inilah yang ingin kita pupuk dan semai supaya tumbuh subur di perkebunan masa, kata Ketua Puteri yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Ahli Parlimen Alor Gajah itu.
Sementara itu Mas Ermieyati turut menyindir Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang menubuhkan INVOKE dan melancarkan kempen "Bina Semula Negara".
Kata beliau kempen itu tidak lebih daripada usaha memfitnah kepimpinan Perdana Menteri.
"Hakikatnya, dakwaan itu umpama tin yang berdentung-dentang bunyinya tetapi kosong isinya.
Daripada Rafizi terus menabur fitnah, kata Mas Ermieyati ada lebih baik Ahli Parlimen Pandan itu mengusahakan kempen bina semula hubungannya dengan Datuk Seri Azmin Ali (Menteri Besar Selangor) yang mana hubungan mereka umpama 'telur di hujung tanduk.' - Kedahnews.com