#PAU2017: Wanita UMNO Mahu Pusat Tahfiz Sains Diselaraskan



WANITA UMNO mencadangkan penubuhan pusat tahfiz aliran sains, kejuruteraan, teknologi dan matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan semasa dan memperkasakan dalam bidang berkenaan kepada anak-anak bangsa.

Program yang menggabungkan model Ulul Albab dan kemahiran vokasional dan teknikal (TVET) itu diharapkan mampu membantu pelajar tahfiz bersaing dalam pasaran kerja

Ketua Wanita UMNO Kedah, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah, berkata program itu penting memandangkan 60 peratus atau 900,000 daripada 1.5 juta peluang kerja menjelang 2020 adalah untuk mereka yang mempunyai kemahiran TVET.

Katanya, kejayaan program Ulul Albab yang diperkenalkan di Maktab Rendah Sains Mara sejak 2009 perlu diperluaskan ke pelbagai peringkat pendidikan terutama peluang meneruskan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

"Menjelang 2019 akan menyaksikan sejumlah 13,070 pelajar Tahfiz Model Ulul Albab dan kurikulum bersepadu tahfiz mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Sedangkan pengambilan pelajar aliran agama ke universiti awam hantar sekitar 4,000 saja dengan hanya Kolej Universiti Islam Malaysia dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menawarkan kursus berkaitan.

"Sebanyak 93 peratus pelajar aliran agama tidak berpeluang meneruskan pengajian di universiti awam," katanya ketika membahaskan usul pendidikan, agama dan sosial di Perhimpunan Agung UMNO 2017, di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu formula khusus juga perlu bagi membolehkan program Ulul Albab dapat dilaksanakan menggunakan kurikulum yang selaras bagi semua peringkat pengajian.
Sementara itu kata wanita sedia berperang bersama jentera Barisan Nasional untuk menang besar pada PRU14 kerana stabillan politik, ekonomi mampu menjamin masa depan negara.

Kemajuan orang Melayu masa depan bergantung kepada pendidikan yang diberi kepada kepada anak bangsa termasuk dalam bidang agama, kata Sharifah yang juga Ketua Wanita UMNO negeri Kedah.

Sehubungan itu, kata Sharifah Maznah, pendidikan agama juga perlu diperkasakan di negara selain memperkemas di bidang sainsdan teknologi dalam melahirkan orang yang tersohor.

Dasar Pendidikan Tahfiz Negara mendapat perhatian beberapa perwakilan yang membahaskan usul agama dan pendidikan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO hari ini.

Mereka antara lainnya mahu kerajaan segera menggubal dasar itu bagi memperkasakan pendidikan tahfiz di Malaysia.

Wakil Pulau Pinang Mohd Nashrol Hisham Abdullah berkata dasar berkenaan dapat menjamin masa depan dan hala tuju pelajar tahfiz, seterusnya melahirkan golongan profesional dan teknokrat huffaz (penghafal al-Quran). - Kedahnews.com.