Seluruh ahli UMNO hari ini diminta menerapkan semangat kesetiaan dan kerja berpasukan seperti mana yang diamalkan oleh pasukan Liverpool ketika menghadapi pasukan lawan mereka.
'War Cry' dan 'You Will Never Walk Alone', slogan yang digunakan oleh pasukan Liverpool boleh dicontohi oleh ahli dan jentera parti UMNO dalam menghadapi PRU14.
Cadangan itu dilontarkan oleh Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin semasa menggulung perbahasan di hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2017, di Pudat Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Menurut Mas Ermieyati, tidak salah ahli UMNO menunjukkan kesetiaan, kecekalan dan ketaatan kepada Presiden dan parti seperti mana yang ditunjukkan oleh penyokong dan pemain Liverpool yang sentiasa bersama pasukan walaupun kegemilangan akhir sekali dicapai pada tahun 1990-an.
Kata beliau Puteri UMNO tidak akan berganjak untuk bersama presiden dan kepimpinan dalam menghadapi PRU ini walaupun apa yang terjadi.
"Buat YAB Presiden, ketahuilah You Will Never Walk Alone ( Presiden tidak akan sendirian)," ikrar Mas Ermieyati.
"Walaupun kita tahu YAB Presiden 'die hard supporter Manchester United' (MU), tetapi dalam menghadapi peperangan kali ini, apa salahnya kita gunakan 'War Cry' Liverpool bagi menunjukkan kesetiaan, kecekalan dan ketaatan kita untuk berdepan PRU14.
Mas Ermieyati berkata setiap seorang daripada bala tentera dalam rumah agam (parti) perlu melunaskan segala janji memenangkan parti keramat orang Melayu ini sebagai satu manifestasi kesetiaan kami kepada Presiden.
Katanya, Puteri UMNO bersumpah untuk terus berada di belakang kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memenangi mandat pada pilihan raya akan datang.
"Sumpah Puteri tidak akan sekali-kali bersikap khianat, justeru ayuh! Bangkitlah!! Soldadu Merah Jambu!! Luaskan kuasamu!! Tunjukkan kekuatanmu, sematkan ketaatanmu di sebalik manis senyum manismu!!
Mari kita ikrarkan untuk tetap bekerja, wala' dan taat kepada kepimpinan parti walau apa pun terjadi. Mari kita susun saf yang kukuh... bersama kekanda Pemuda dan bonda Wanita UMNO serta seluruh pimpinan kita," katanya lagi.
Di akhir penggulungan Mas Ermieyati turut berpantun:
Andai rebah ditempur garuda
Bertongkat lengan mencari sasa
Andai semangat juang tidak di dada
Usah bicara agenda bangsa!
Putrajaya mimpi Pakatan Harapan
Biarkan tenggelam dalam angan
Semboyan ditiup Puteri di hadapan
Mentaliti Negaraku gempuran kemenangan! - Kedahnews.com