Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO ketika ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 mendedahkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang berminat untuk menjadi Perdana Menteri (PM) jika Pakatan Harapan menang PRU14.
Dengan kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini terumbang-ambing dan kemungkinan diharamkan, harapan Kit Siang untuk menduduki kerusi PM itu semakin cerah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan calon pilihan untuk diangkat ke jawatan itu tidak layak bertanding pada PRU14.
Dr. Mahathir pula perlu bertandimg atas tiket Pakatan Harapan, itu pun jika masalah PPBM dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
DAP selaku ketua Pakatan Harapan tidak mungkin membenarkan parti yang lemah menjadi tulang belakang pakatan dan pemimpinnya diangkat sebagai PM.
.Dalam hal ini, kenyataan Najib adalah betul apabila menyatakan Kit Siang berhasrat menjadi Perdana Menteri kerana Penasihat DAP itu sehingga kini tidak pernah melepaskan jawatan tertinggi dan kawalannya terhadap parti itu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Ahli Parlimen Gelang Patah itu sudah berada dalam politik selama 50 tahun dan DAP sendiri mempunyai 38 kerusi Parlimen berbanding parti lain dalam gabungan pembangkang.
"Mustahil beliau akan menolak untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang pilihan raya (umum) kali ini.
"Bagi memastikan beliau menjadi Perdana Menteri, Kit Siang sebenarnya perlu mendapatkan sokongan Melayu dan beliau berjaya menggunakan Anwar Ibrahim dan kini Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dijadikan alat menarik pengundi Melayu," katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Sementara itu, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim pula berkata, selama ini Kit Siang melindungi niat sebenarnya itu daripada rakyat dengan berpura-pura memberi sokongan kepada calon lain untuk menjadi Perdana Menteri.
Kit Siang dan anaknya dalam ceramah mereka sebelum ini pernah menyatakan Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan mestilah terdiri orang Melayu. Kit Siang juga menyatakan dia tidak pernah bermimpi untuk menjadi PM.
Malah menurut Tunku Abdul Aziz, keadaan ketika ini juga menuntut Kit Siang `perlu’ menjadi Perdana Menteri jika mahu menyelamatkan anaknya, Lim Guan Eng daripada dipenjarakan jika didapati bersalah atas tuduhan rasuah.
"Matlamat utama mana-mana diktator adalah untuk menjawat jawatan tertinggi iaitu Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurut Tunku Abdul Aziz, Kit Siang perlu tampil dan menjawab kenyataan Najib itu dan tidak lagi berselindung di belakang orang Melayu seperti yang beliau selalu lakukan.
Kit Siang sudah bersedia kerana DAP dijangka terus menjadi parti yang dominan jika menang PRU14. PKR,PPBM dan PAN tidak ada pilihan, mereka perlu menerima hakikat bahawa DAP mempunyai suara lebih besar dan lantang dalam Pakatan Harapan.
Bersediakah orang Melayu dalam UMNO, PAS, PKR dan PAN menerima Kit Siang? - Kedahnews.com.