YAN - Kegembiraan jelas terpancar diwajah seorang insan bergelar kakak yang juga merupakan anak perempuan sulung di dalam keluarga apabila disumbangkan peralatan mesin jahit oleh Pejabat Zakat daerah Yan, pada Rabu.
Nur Liyana Fadzil, 20, berkata, pemberian ini membolehkannya membantu bapanya menyara tujuh adik-adiknya yang masih kecil dengan mengambil upah menjahit baju.
"Sebelum ini saya ambil upah sebagai tukang jahit di sebuah kedai jahit di sekitar Pekan Yan dengan upah RM12 bagi sepasang baju yang saya berjaya siapkan.
"Alhamdulilah selepas ini saya akan dapat upah yang lebih tinggi kerana mengambil upah menjahit secara sendiri dari rumah," katanya.
Katanya, dia perlu bekerja keras bagi membantu bapa dan abang sulongnya bagi memenuhi keperluan adik-adiknya yang masih bersekolah.
"Saya terpaksa berkorban masa rehat dan ketepikan keseronokkan untuk bersama kawan-kawan bagi memastikan keperluan adik-adik saya terjamin tambahan pula banyak peralatan persekolahan depa belum disediakan," katanya.
Liyana berkata, ayahnya hanya bekerja kampung manakala abang sulungnya mengambil upah berniaga ayam goreng.
"Hanya kami bertiga sahaja yang bekerja dalam keluarga ini, jadi kami perlu bekerja keras," jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Zakat Daerah Yan, Logman Husain berkata, diharapkan bantuan yang telah diberikan ini dapat meringankan beban penerima.
"Diharapkan juga penerima dapat memanfaatkannya bagi menambah pendapatan mereka sekeluarga.
"Insya-ALLAH suatu hari nanti dengan usaha keras penerima beliau mampu mengeluarkan zakat bagi membantu insan lain pula," katanya.
Sumber: Sinar Harian