Pelajar Malaysia Bebas Tuduhan Belanja RM13 Juta


BRISBANE - AUSTRALIA. Seorang bekas pelajar di sebuah universiti di Australia bebas dari dakwaan memperoleh kelebihan kewangan dengan penipuan.

Menurut laporan Brisbane Times, pertuduhan terhadap Christine Jia Xin Lee digugurkan Isnin lalu.

Peguam Xin Lee, Hugo Aston mengatakan kliennya 'lega selepas semua trauma ini berakhir'.

Kata Hugo kepada Fairfax Media, kes Xin Lee membuktikan pihak bank perlu lebih berhati-hati dengan sistem pengurusan akaun.

Xin Lee, 21, sebelum ini didakwa membuat pengeluaran sehingga RM13.8 juta pada Julai 2014 hingga April 2015.

Pengeluaran tersebut berlaku selepas pihak bank Westpac tersilap memberikan kelebihan overdraft tanpa had kepada Xin Lee pada Ogos 2012.

Xin Lee dilaporkan mengeluarkan sejumlah wang dan dibelanjakan ke atas beg tangan, rantai berlian, anting-anting, cincin, pakaian, kasut dan kusyen.

Beliau belajar di Universiti Sydney ketika itu.

Perbelanjaan Xin Lee terhenti pada 8 April tahun lepas selepas pengurus kanan Westpac, Matt Tregoning membekukan wanita berkenaan selepas kesilapan overdraft berkenaan dikesan.

Disember tahun lepas, Xin Lee didakwa secara tidak jujur ​​memperoleh kelebihan kewangan dengan penipuan, dan dengan sengaja berurusan dengan hasil jenayah di Mahkamah Pusat Downing di Sydney.

Laporan Sydney Morning Herald mengatakan Xin Lee memulangkan pelbagai barangan yang dianggarkan bernilai AS$1 juta pada April 2016.

Mei lalu, Mahkamah Agung memerintahkan supaya Westpac merampas aset lain untuk mencukupkan jumlah selebihnya.

Sumber: Sinar Online