Pelajar Perempuan Dilarikan Lelaki Menyamar Polis


RAUB - Seorang pelajar perempuan dipercayai dilarikan seorang lelaki menyamar polis dari rumahnya di Ulu Gali, Sungai Ruan, dekat sini, petang semalam.

Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi, 16, dipercayai dilarikan seorang lelaki mengaku anggota polis bernama Faiz dan bertugas di Balai Polis Sungai Ruan serta berusia dalam lingkungan 20-an.

Ibu mangsa, Wan Maziah Wan Mat, 37, berkata sebelum kejadian Nur Syaminn Nabila, pelajar sebuah sekolah menengah di sini, keluar membeli buku sekolah untuk adiknya kira-kira jam 11 pagi.

"Selepas itu dia singgah membeli pisang goreng di gerai berhampiran simpang Ulu Gali dan di situ dia bertemu seorang lelaki mengaku anggota polis yang meminta pertolongannya untuk membawa motosikal baharu dibelinya di sebuah premis di Sungai Ruan.

"Lelaki itu kemudian mengikuti Nur Syaminn Nabila ke rumah dan bertemu dengan saya, ...dia memperkenalkan diri sebagai Faiz dan bertugas di Balai Polis Sungai Ruan.

"Dia juga beritahu mahu meminta tolong anak saya untuk mengambil motosikal baharu dibelinya, tanpa syak wasangka saya membenarkannya dan mereka menaiki sebuah kereta berwarna perak," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Suri rumah itu berkata, kira-kira jam 3 petang dia menerima panggilan dari anaknya yang memberitahu dia berada di Gua Musang, Kelantan bersama lelaki itu.

"Sambil menangis dia memberitahu gelang emas dipakainya diambil lelaki itu sebelum talian diputuskan, ...saya kemudian memeriksa dengan rakan yang juga anggota polis dan mendapati tiada anggota bernama Faiz di Balai Polis Sungai Ruan.

"Bimbang dengan keadaan itu, saya membuat laporan di Balai Polis Sungai Ruan, jam 4 petang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat keluarga mangsa dan sedang melakukan siasatan.

Sumber: BH Online