Pelakon Lelaki "Mulut Manis"! Tipu Duit Ramai Artis Wanita?


PELAKON dan penyanyi Bella Nazari baru-baru ini mendedahkan mengenai dirinya yang hampir menjadi mangsa ‘mulut manis’ seorang lelaki.

Khabarnya, lelaki yang bergelar pelakon itu bertindak berani sehingga ingin menghubungi keluarga Bella untuk menghantar rombongan meminang.

Menurut aktres menerusi drama Hati Perempuan ini lagi, lelaki berkenaan bahkan masih menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Bayangkan, baru dua hari kenal di laman maya tanpa bertemu secara empat mata, dia sudah menawarkan diri nak beli barang mewah, termasuk ajak saya bercuti ke Australia.

“Kononnya dia sanggup tanggung perbelanjaan bercuti. Mujur saya tidak bodoh menerima tawarannya.

“Lebih kronik, dia beriya-iya mengajak saya kahwin sampai dia berani menghubungi ibu saya kerana mahu menghantar rombongan meminang.

“Lucunya, saya dapat tahu dia sudah berkahwin dan mempunyai anak,” katanya dipetik BH Online.

Jelas apa yang dilakukan lelaki berkenaan membuatkan Bella terkejut kerana mereka baru sahaja berkenalan menerusi laman Instagram.


Mungkin tidak tahan dengan perlakuan lelaki tersebut, pelantun suara bagi lagu Oh Cintaku ini memuat naik satu entri yang dipercayai ditujukan kepada lelaki berkenaan di laman Instagram beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, Bella menyatakan turut menerima mesej daripada beberapa mangsa ‘mulut manis’ lelaki berkenaan yang menceritakan penipuan yang dibuatnya.

“Tanpa diduga, saya didatangi mesej yang memaklumkan mereka pernah menjadi mangsa penipuan lelaki itu. Bukan orang biasa saja, artis pun hampir terkena dengannya.

“Malah, dia memang dikehendaki polis dan banyak rekod buruk kerana kes penipuan duit. Dia memang penipu besar.

“Selama ini dia menayang kemewahan di laman sosial dengan hasil duit menipu orang,” ujarnya.

Sementara itu, Bella menjelaskan cerita ini dikongsi supaya golongan wanita tidak mudah terpedaya dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya didekati pelakon lelaki berkenaan.

Dengar-dengarnya, pelakon lelaki itu sedang diburu pihak polis berhubung kes penipuan dan peras ugut.  - Kedahnews.com