ALOR SETAR – Kesemua pemain skuad Lang Merah diharapkan agar dapat segera menyesuaikan diri bersama dengan ketua jurulatih baharu pasukan iaitu Ramon Marcote Pequeno, selain berusaha dengan lebih gigih bagi meraih lebih banyak kejayaan dalam saingan Liga Malaysia 2018.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Othman Aziz berkata, disamping memastikan pasukan itu merangkul kejuaraan dan terus disegani, kesungguhan pemain serta kerjasama berpasukan tetap ditagih meskipun mempunyai jurulatih yang hebat.
“Ada jurulatih hebat tetapi pemain tidak bersungguh pun tidak akan menjadi juga…perlu ada kerjasama serta komited dan semangat daripada semua pihak termasuk pemain, jurulatih dan pengurus KFA itu sendiri.
“Kalau pemain tidak dapat mengikut arahan dan perancangan jurulatih, ia akan menyukarkan pasukan untuk meneruskan kegemilangan pada musim 2018,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan secara simbolik kelengkapan persekolahan kepada 1,000 pelajar di kawasan Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam di Jerlun, semalam.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan secara simbolik kelengkapan persekolahan kepada 1,000 pelajar di kawasan Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam di Jerlun, semalam.
Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata demikian ketika diminta mengulas pelantikan Marcote, 40, yang menandatangani kontrak selama setahun bagi mengemudi pasukan Kedah dalam kempen Liga Malaysia musim depan.
Marcote merupakan bekas penolong jurulatih Atletico Madrid dan pernah bersama Kedah pada 2015 sebagai jurulatih kecergasan.
Sementara itu, Othman yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata tindakan memilih Marcote sebagai ketua jurulatih Kedah adalah satu usaha berani dalam langkah memastikan pasukan Lang Merah terus menjadi antara pasukan terbaik di negara ini.
Mengakui Marcote adalah jurulatih yang hebat, KFA turut meletakkan keyakinan penuh kepadanya yang mempunyai kemampuan bagi meneruskan kegemilangan pasukan itu pada masa depan, serta mengakui kehadiran ketua jurulatih itu tidak asing lagi bagi pasukan berkenaan.
Sementara itu, pemberian kelengkapan persekolahan oleh PLUS Malaysia Bhd (PLUS), itu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat, dan merupakan salah satu program tahunan syarikat induk PLUS iaitu UEM Group Berhad yang dikenali sebagai ‘Program Kembali Ke Sekolah UEM’. - Kedahnews.com
