KUALA LUMPUR - Polis kini masih mengesan empat suspek yang dipercayai terlibat dalam 'pembunuhan BMW' yang berlaku di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd pada masa sama menafikan kenyataan tular di media sosial kononnya suspek telah berjaya diberkas.
Tegas Mohd Khalil, siasatan awal polis mendapati nombor plat kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu juga palsu.
"Buat masa ini memang belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan kita sedang dalam proses kenal pasti suspek.
"Manakala bagi kenderaan BMW yang digunakan, pemilik kenderaan telah kita jumpa dan kita boleh sahkan ia menggunakan nombor plat palsu.
"Pemilik kenderaan asal dengan kereta serta nombor plat sama berada di Ipoh pada waktu kejadian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Semalam, seorang lelaki maut selepas ditikam dan dilanggar dengan sebuah kenderaan dinaiki sekumpulan lelaki di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi Johor Bahru.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya, sedang mengisi angin tayar kenderaan mereka di stesen minyak berkenaan.
Kesemua suspek yang menaiki kenderaan mewah BMW secara tiba-tiba datang dan cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka hingga berlaku pergelutan sebelum mangsa berjaya meloloskan diri.
Suspek kemudiannya bertindak melanggar mangsa sebanyak dua kali sebelum mengundur dan melarikan diri.
Mangsa berusia 30-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sumber: Astro Awani