"Pemergian" Mahfuz Tengah Malam Ini Tidak Diratapi PAS Kedah


ALOR SETAR - Tindakan keluar parti oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar, langsung tidak diratapi oleh PAS Kedah, malah ianya dianggap sebagai suatu yang tidak penting lagi bagi kepimpinan parti itu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Mahfuz sudah sekian lama tidak bersama jemaah parti itu dan sebarang tindakan oleh bekas Pesuruhjaya PAS Kedah itu tidak lagi dipeduli.

"Sudah lama diketahui dia tidak bersama PAS - Ke mana pun dia mahu pergi sudah tidak penting...," tegas Muhammad Sanusi ringkas dalam satu kenyataan.

Meskipun tidak menyebut nama, namun diyakini kenyataan tersebut ditujukan kepada Ahli Parlimen Pokok Sena tersebut yang hari ini mengumumkan dirinya meninggalkan PAS berkuatkuasa pada jam 11.49 malam ini.

Mahfuz dalam sidang media hari ini memberitahu media tentang keputusan keluar parti dan membayangkan bakal menyertai mana-mana parti Pakatan Harapan yang terdiri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN), DAP dan PKR.

Beliau turut menjelaskan ada menerima 'lamaran' dari parti-parti berkenaan termasuk DAP, namun belum membuat keputusan mengenainya dan meminta diberi ruang untuk "tempoh bertenang".

Namun begitu, Mahfuz menegaskan bahawa beliau akan menyertai salah satu parti tersebut sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti, berkemungkinan bagi membolehkan beliau bertanding mewakili parti berkenaan tanpa perlu bertanding sebagai calon bebas.

Beberapa pihak sebelum ini menjangka Mahfuz akan meninggalkan PAS menjelang PRU ke-14 dan berkemungkinan menyertai PPBM ekoran parti itu dikatakan ketandusan tokoh untuk dipilih sebagai calon pilihan raya di Kedah. - Kedahnews.com