Pemetik Kobis Di Korea Selatan Raih 11 Ribu Sebulan


MUNGKIN bagi sesetengah orang, bekerja di luar negara merupakan pencapaian yang boleh dibanggakan. Namun, sedarkah anda tentang cabaran yang perlu diharungi untuk hidup di sana?

Baru-baru ini tular satu video seorang warga Malaysia, Adib Zizan yang bekerja sebagai pemetik kubis di Korea Selatan.

Pemuda itu menceritakan pengalamannya bekerja di sana.

“Bukan senang di bumi Korea. Saya bekerja di kilang batu, kilang konkrit. Saya bekerja sebagai seorang petani, saya tak pernah mengeluh.

“Dengan apa yang saya dapat hari ni, hasil saya sendiri,” katanya dalam video live yang dibuatnya.

Menurut Adib, dia perlu bekerja dalam keadaan suhu yang rendah dan netizen yang tidak melaluinya hanya pandai meluahkan kata-kata di laman sosial.

Sementara itu, Adib turut menceritakan pengalaman seorang remaja yang baru bekerja selama hampir dua bulan di sana dan telah mendapat pendapatan sebanyak 3 juta won (RM11,000).

Kata Adib, remaja berumur 19 tahun itu ditinggalkan ejennya dan dia bekerja sebagai pemetik kubis untuk menyara kehidupannya.

“Saya kerja pemetik kubis. Gaji saya dalam RM11,000,” katanya.

Remaja itu juga berjaya membeli telefon bimbit jenama Apple iPhone 7 Plus (128GB) selepas sebulan membanting tulang di sana.

Tambahnya lagi, dia berhijrah ke sana untuk bekerja kerana dia tiada pelajaran untuk bekerja sebagai profesional di negara ini.

Difahamkan, sejak videonya memetik kubis tular, ramai individu Malaysia di sana meminta tolong daripadanya. Tapi, dia menyatakan mereka seharusnya mencari ejen pekerjaan kerana dia juga bekerja di sana.

Dalam pada itu, lelaki ini menjelaskan dia bekerja bersungguh-sungguh untuk mengubah kehidupannya.

“Kami tak kacau duit anda, tak perlu nak kecam. Walaupun saya seorang pemetik kubis, saya tak ambil duit anda.

“Saya bukan manusia yang cakap indah dari rupa. Yang kenal saya tahulah saya sudah buat berbagai kerja di Korea.

“Jika hanya pandai berkata-kata, tiada apa yang terjadi,” tambahnya lagi.

Penjelasan tersebut diberikan apabila ada netizen yang mengkritik pekerjaannya. Namun, dia tidak menghiraukan kata-kata netizen dan fokus dengan kerjanya sahaja.

Rata-rata netizen menyatakan pemuda ini seharusnya dijadikan contoh kerana berdikari dan tidak berputus asa untuk mengubah kehidupannya. - Kedahnews.com