Pemilik Restoran Viral Didenda RM30,000 Kerana Invois Palsu


KUALA LUMPUR - Seorang pemilik restoran makanan ikan air tawar, yang viral kerana harga sajian di premisnya mencecah lebih RM10,000 didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Wan Mohd Norhisham Wan Yaakob mengenakan hukuman itu terhadap  Kamarul Ariffin Hamzah, 41, selepas peniaga itu didapati bersalah atas tujuh tuduhan mengemukakan invois penjualan makanan palsu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Hakim Wan Mohd Norhisham Wan Yaakob, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan suatu keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Wan Mohd Norhisham dalam penghakimannya, berkata Kamarul Ariffin yang  dinamakan selaku Orang Kena Saman (OKS) sepatutnya mempunyai rekod lengkap kerana sudah 20 tahun berpengalaman dalam bidang perniagaan.

"OKS juga tidak mengemukakan rekod invois yang boleh menyokong keterangan pembelaannya," katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Kamarul Ariffin selaku pemilik Exotic Fish River Restaurant, didakwa mengemukakan invois palsu kepada penolong pengarah KPDNKK di Bahagian Penguat Kuasa, Aras 2, KPDNKK, Persiaran Perdana, Putrajaya, di sini, pada 25 November 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 26 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 57(b) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda.

Terdahulu, Kamarul Ariffin dalam rayuannya menerusi peguam bela, A Ravikumar, memohon hukuman ringan dengan alasan mempunyai masalah kesihatan antaranya darah tinggi, kencing manis dan sakit buah pinggang yang memerlukan rawatan susulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zulia Balqish Syed Agil, membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan kesalahan yang serius.

Seramai lima saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes berkenaan.

Peniaga terbabit membayar denda yang dikenakan.

Pada November 2014, gambar sekeping resit memaparkan jumlah RM17,017 yang bagi hidangan ikan patin dan udang galah menjadi viral di media sosial.

Sumber: BH Online