Peminat Antara Punca Ramon Marcote Kembali Ke Kedah


ALOR SETAR - Peminat dan penyokong tegar pasukan Lang Merah dikatakan antara punca kembalinya jurulatih Sepanyol, Ramon Marcote ke negeri Kedah bagi mengendalikan pasukan itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak negeri Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, hasil tinjauan media sosial mendapati begitu ramai penyokong Kedah mahukan Ramon kembali mengemudi pasukan Lang Merah.

"Hasil tinjauan yang dibuat begitu ramai peminat dan penyokong dari Kedah mahu memberi tanggungjawab ini sekali lagi kepada Ramon Marcote untuk menerajui skuad Kedah" katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan semasa Majlis Menandatangani Kontrak ketua Jurulatih Skuad Liga Super Kedah 2018, Ramon Marcote Pequeno di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Menurutnya, keputusan tersebut diambil bukan hanya berdasarkan kehendak peminat semata-mata, akan tetapi pihaknya telah mengambil kira berdasarkan kualiti dan pengalaman yang dimiliki Ramon.

"Setelah kita pertimbangkan dengan pengalaman yang ada, dan bukanlah apabila peminat berkehendak begitu (Ramon dipilih).

"Akan tetapi antara salah satu ialah peminat mengharapkan dan yakin dengan pengalaman yang ada pada Ramon Marcote.

"Jadi pengurusan mengambil pendekatan yang sama dan usaha kita mengambil Ramon Marcote bukanlah mudah kerana beliau merupakan seorang jurulatih yang berpengalaman dengan sebuah kelab terkemuka di Eropah." katanya.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Marcote adalah suatu nama yang tidak asing dalam arena bola sepak tanah air terutama pasukan Kedah dengan menjadi jurulatih kecergasan Kedah.

"Malah, beliau juga pernah diamanahkan untuk menggalas tugas sebagai pemangku jurulatih pasukan bagi empat perlawanan terakhir pasukan Kedah pada 2015.

“Hasil sentuhannya itu berjaya membawa pasukan Kedah layak ke pentas perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 dan kesan yang ditinggalkan cukup mendalam dan mengujakan semua pihak ketika itu," katanya.

Namun begitu, perkhidmatan Ramon bersama pasukan Lang Merah tidak lama kerana turut membawa haluan masing-masing pada musim seterusnya. - Kedahnews.com