Pemuda Dari Langgar Derita 6 Tahun Berkerusi Roda


ALOR SETAR - Seorang pemuda dari Taman Malinja, Langgar, di sini, terpaksa menggunakan kerusi roda sejak enam tahun lepas setelah terbabit dalam kemalangan ngeri pada 2011.

Ahmad Arham Rahimi Sukarno, 23, berkata, dia kehilangan kaki kanan hingga paras paha akibat kemalangan dengan sebuah treler di Sungai Tiang, Pendang .

“Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang selepas bermandi manda di Kolam Air Panas Legong bersama kawan dengan menaiki motosikal.

“Secara tiba-tiba, ada treler masuk ke laluan kami. Saya tak sempat mengelak hingga berlakunya kemalangan itu,” katanya.

Terdahulu, Arham ditemui dalam sesi penyerahan bantuan rawatan sekali gus kaki palsu kanan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di rumahnya, Rabu lalu.

Katanya, dia dan rakannya mengalami kecederaan parah di bahagian kanan badan masing-masing sebelum dibawa ke hospital.

“Sebahagian kaki kawan yang luka dapat disambung semula. Namun, kaki saya terpaksa dipotong sebab nak elakkan jangkitan kuman,” katanya.

Arham berkata, dia terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk meneruskan kehidupan sebagai pelajar Semester Tiga Kolej Komuniti Sungai Petani dan berniaga secara kecil-kecilan.

“Walaupun tak seperti orang biasa, namun saya tak akan berputus asa.

"Malah, akan berusaha mengejar cita-cita menjadi seorang chef terkenal,” katanya.

Bagaimanapun, anak kelima dari tujuh adik beradik ini memerlukan kaki palsu bagi membantu pergerakannya dan mencapai impiannya bergelar chef.

“Disebabkan, menjadi chef perlu berdiri lama dan kekuatan fizikal kena kuat, saya disarankan dapatkan kaki palsu untuk memudahkan kerja,” katanya.

Katanya, dia bersyukur nasibnya mendapat perhatian LZNK yang turun padang menyalurkan bantuan kaki palsu.

"Terima kasih kepada pemberi zakat yang menunaikan hasrat saya," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Eksekutif Jabatan Agihan dan Pembangunan Asnaf LZNK, Jamaly Juwardy Jaafar berkata, Arham menerima bantuan rawatan sekali gus kaki palsu bernilai RM8,500 untuk memudahkan urusannya.

"Pihak LZNK berharap bantuan diterima membantu memudahkan Arham bergerak, menyambung pengajian dan mengejar cita-citanya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamaly menyeru orang ramai membuat bayaran zakat sebelum 31 Disember demi mendapatkan pelepasan cukai.

Sumber: Sinar Harian