Penagih Dadah Tak Sempat Jadi Wali Kakak, Dicekup AADK Kuala Muda


LELAKI berusia 30-an yang bakal menjadi wali majlis pernikahan kakaknya Sabtu ini antara lima penagih dadah ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Matahari Naik, Semeling, Bedong, Sungai Petani semalam.

AADK Kuala Muda melalui risikan dan aduan orang awam bertindak melakukan Ops Cegah Siri 78/2017 bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari di kawasan ladang terbabit sebelum menahan lima lelaki berusia 25 hingga 34 tahun.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Shamshuri Yusoff berkata, ladang kelapa sawit yang sudah ditinggalkan itu dipercayai menjadi sarang penagihan dadah kepada penagih di sekitar Merbok, Bedong, Semeling dan lain-lain kawasan bagi mendapatkan bekalan dadah serta menagih.

Menurutnya, mereka yang ditahan itu dibawa ke pejabat AADK Kuala Muda dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis opiat.

"Siasatan juga mendapati mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap namun mampu membeli dadah itu dipercayai melalui duit menjual barangan lusuh.

"Malah salah seorang yang ditahan itu juga bakal menjadi wali majlis pernikahan kakak yang akan berlangsung Sabtu ini," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Shamshuri berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Sumber:MyMetro