KUALA LUMPUR - Pendapatan kasar bulanan isi rumah kaum bumiputera meningkat daripada RM3,624 pada tahun 2009 kepada RM6,267 tahun lalu dengan menyaksikan peningkatan hampir dua kali ganda, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malah, sejak beliau mula memegang tampuk pemerintahan negara, kadar kemiskinan bumiputera juga berjaya diturunkan daripada 5.3 peratus pada tahun 2009 kepada 0.5 peratus pada tahun lalu.
“Kita akan pastikan Melayu dan bumiputera terus berdaya saing, sama ada dari segi pendidikan, pekerjaan, pemilikan aset dan banyak lagi.
“Semua ini saya rangkumkan dalam Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang dilancarkan pada awal tahun ini, yang menyingkap segenap pencapaian dan juga aspirasi masa hadapan kita untuk Melayu dan bumiputera di Malaysia,” kata Perdana Menteri menerusi catatan di blog najibrazak.com.
Catatan tersebut dibuat sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-71 yang akan bermula pada 5 sehingga 9 Disember ini.
Mengulas lanjut Najib yang juga Presiden UMNO berkata, walaupun tempoh usia 71 tahun UMNO diumpamakan sebagai usia yang masih muda, masih baharu dan masih belia, UMNO bertanggungjawab membawa kemerdekaan dan memimpin bangsa dan negara ke arah kejayaan.
“Alhamdulillah, meskipun dalam usia muda ini, kita telah mencapai begitu banyak, untuk Melayu, untuk bumiputera, untuk Islam, dan untuk negara Malaysia.
“Menjelang Perhimpunan Agung UMNO ke-71 ini, sama-sama kita hayati sejauh mana UMNO telah memimpin Melayu dan bumiputera, dan secara langsungnya juga negara, ke arah kejayaan yang kita kecapi hari ini.
Perdana Menteri berkata, semua kejayaan tersebut adalah hasil perjuangan UMNO atau lebih tepat lagi, hasil kesanggupan, hasil titisan darah dan keringat, hasil kesetiaan dan wala’ tidak berbelah bahagi kesemua ahli-ahli UMNO di setiap lapisan masyarakat daripada akar umbi ke pucuk kepimpinan.
“Kerana UMNO adalah parti yang bertunjangkan kepentingan rakyat, memperjuangkan nasib rakyat. UMNO adalah parti yang cintakan negaranya, yang sanggup berkorban hingga ke titisan darah terakhir demi Malaysia. UMNO adalah parti rakyat, hak dan milik ahli-ahlinya, bukan parti milik mana-mana individu.
“Insya-Allah, UMNO akan terus gagah memikul tanggungjawab ini, menjadi nakhoda membawa Melayu, bumiputera, rakyat serta negara Malaysia, dalam pelayaran menuju lembah kejayaan, kerana perjuangan kita ini perjuangan berasaskan nurani yang luhur, ikhlas dan murni. Demi agama, demi bangsa, demi negara,” katanya.
Sumber: Utusan Online